NIBONG TEBAL : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket penyelewengan diesel bersubsidi dengan menggunakan kad fleet susulan satu serbuan ke atas sebuah stor pemborong berlesen di sini, petang tadi.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, serbuan sempena Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) itu dilakukan dengan kerjasama Cawangan Khas E5 dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang selepas satu risikan dan pemantauan berkaitan dijalankan selama tiga minggu.
Beliau berkata, dalam serbuan berkenaan, tujuh lelaki warga tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan dan pihaknya turut menemukan 13 unit kad fleet yang ditinggalkan di stor pemborong tersebut.
“Sebanyak tiga buah prime mover, lima skid tank, pam, kamera litar tertutup (CCTV), resit pembelian serta beberapa dokumen perniagaan disita dalam serbuan itu bagi membantu siasatan.
“Selain itu, kira-kira 10,600 liter cecair dipercayai diesel yang dijumpai dalam skid tank dan tangki asal prime mover bernilai kira-kira RM53,000 turut dirampas sekali gus menyaksikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan dalam serbuan itu mencecah RM205,000,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelas Jegan, siasatan awal mendapati, sindiket tersebut dipercayai menjadikan stor pemborong terbabit sebagai tempat pemindahan diesel daripada prime mover yang dipercayai mengisi minyak di stesen minyak berdekatan melalui penggunaan kad fleet secara pembelian berulang.
“Kes disiasat di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjual barang kawalan tanpa lesen, serta Peraturan 11 kerana membeli barang kawalan daripada sumber yang tidak dibenarkan.
“Sabit kesalahan, individu yang terlibat boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Sementara itu, bagi syarikat pula, denda sebanyak RM2 juta bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya, jumlah denda yang dikenakan boleh mencecah RM5 juta,” katanya.
Tambah beliau, KPDN akan terus memperkukuh usaha penguatkuasaan dan pemantauan selain tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang penyalahgunaan kad fleet bagi penyelewengan bahan api terutamanya diesel.-UTUSAN










