BUTTERWORTH : Lima lelaki warga Indonesia mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan iaitu melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan parang serta pisau pada Mac dan April lalu.
Kesemua tertuduh iaitu Didi Sugiarto, 28; Azhari, 35; Ajis Sukandar, 40; Fauji Hidayat, 41 dan Suharman, 44, membuat pengakuan tersebut selepas ketiga-tiga pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Berdasarkan pertuduhan pertama, kesemua tertuduh didakwa secara bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan sebilah parang terhadap enam lelaki yang terdiri daripada warga Indonesia dan tempatan di sebuah kuari di Padang Ibu Kubang Semang, Bukit Mertajam, pada pukul 3 pagi, 11 Mac lalu.
Mengikut pertuduhan kedua pula, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap sembilan lelaki warga Bangladesh dengan menggunakan sebilah parang serta pisau di sebuah rumah kontena di Jalan Kulim, Taman Machang Bubok, Bukit Mertajam, kira-kira pukul 3.30 pagi, 12 Mac lalu.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki dan wanita warga Myanmar di Lot 610, 589, 579, 577 dan 105 Off Jalan Kampung Pengkalan, Sungai Bakap, dalam daerah Seberang Perai Selatan, pada pukul 1.30 pagi, 9 April lalu.
Dalam kejadian itu, kesemua tertuduh yang juga bersenjatakan parang ketika itu didakwa melarikan sebuah telefon bimbit berjenama Vivo V5 5G Lite, sepasang subang emas serta sebuah telefon bimbit jenis iPhone 17 Pro Max milik mangsa.
Atas ketiga-tiga kesalahan berkenaan, mereka didakwa di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama. Sabit kesalahan, ketiga-tiga tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.
Terdahulu, ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nadhirah Abdul Rahim bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh dan permohonan tersebut dipersetujui oleh mahkamah.
Pada masa yang sama, mahkamah turut menetapkan 10 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan sebutan fakta kes dan hukuman.
Memetik laporan berita pada 10 April lalu, seramai 11 warga Indonesia termasuk pasangan kekasih yang dikenali sebagai Geng Rantau direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung lima kes samun bersenjata di rumah kongsi dalam kawasan tapak pembinaan sekitar Pulau Pinang.-UTUSAN










