DUN: Perdagangan Pulau Pinang cecah RM955 bilion

DUN: Perdagangan Pulau Pinang cecah RM955 bilion

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pulau Pinang mencatatkan pertumbuhan kukuh jumlah dagangan sebanyak RM955 bilion tahun lalu, melalui Pelabuhan Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, daripada jumlah itu, nilai eksport mencatatkan RM573 bilion manakala import berjumlah RM382 bilion.

Menurut beliau, pencapaian tersebut mencerminkan peranan Pulau Pinang sebagai antara hab perdagangan dan pelaburan utama negara selain menjadi nod penting dalam rantaian bekalan serantau dan global khususnya bagi produk berteknologi tinggi serta bernilai tambah.

“Prestasi pelaburan Pulau Pinang bagi tahun 2025 menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dan kekal sebagai antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Pulau Pinang terus menarik pelaburan berkualiti tinggi terutama dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta peranti perubatan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

Kon Yeow (PH-Padang Kota) menjawab soalan Ong Ah Teong (PH-Batu Lancang) mengenai nilai eksport dan import melalui Pelabuhan Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bagi 2025.

Menurut Kon Yeow, berdasarkan data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), jumlah pelaburan keseluruhan yang diluluskan di Pulau Pinang sepanjang tahun lalu adalah sebanyak RM32.9 bilion.

Katanya, aliran masuk pelaburan itu didorong oleh kekuatan ekosistem industri sedia ada, ketersediaan tenaga kerja mahir, kemudahan infrastruktur dan kedudukan strategik negeri  dalam rantaian bekalan global selain kestabilan dasar serta sokongan berterusan oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, pecahan jumlah perdagangan spesifik melalui Pelabuhan Pulau Pinang dan LTAPP tidak tersedia buat masa ini berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Sementara itu, menjawab soalan Phee Syn Tze (PH-Sungai Puyu) mengenai langkah strategik kerajaan negeri untuk meningkatkan hasil negeri tanpa membebankan rakyat pula, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri melaksanakan pendekatan holistik, bersepadu dan berfokus bagi memastikan kedudukan kewangan negeri terus kukuh dan mampan dalam jangka panjang.

Menurutnya, antara langkah strategik yang diberi tumpuan ialah meningkatkan kecekapan kutipan hasil sedia ada melalui penambahbaikan sistem kutipan serta penguatkuasaan terhadap tunggakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN