191 pelajar SMA terpaksa jalani sesi PdPR gara-gara banjir

191 pelajar SMA terpaksa jalani sesi PdPR gara-gara banjir

Mohamad Dziauddin Mat Saad melihat keadaan bilik kelas yang telah dibersihkan selepas dilanda banjir di SMA Al-Maahadul Islami Tasek Junjung, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Seramai 191 pelajar dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Maahadul Islami Tasek Junjung di sini terpaksa mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas sekolah tersebut dilanda banjir lumpur susulan hujan lebat, malam tadi.

Jumlah tersebut termasuk 77 pelajar yang dipercayai terkandas di asrama selepas bangunan tersebut turut dinaiki air, namun, mereka berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba sebelum dibawa pulang oleh ahli keluarga masing-masing.

Pengarah Pendidikan negeri, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, meskipun cuaca sejak pagi tadi kembali cerah, pihaknya masih memantau keadaan semasa sebelum memutuskan sama ada sesi PdPR itu akan diteruskan atau sebaliknya.

“Kita akan lihat keadaan cuaca petang ini dahulu bagaimana. Jika tiada hujan lebat, maka, sekolah akan dibuka seperti biasa esok. Namun, jika keadaan sebaliknya yang berlaku, kita akan teruskan PdPR seperti hari ini,” katanya ketika ditemui semasa meninjau keadaan sekolah itu, tengah hari tadi.

PENGETUA SMA Al-Maahadul Islami, Saliza Zainol (kanan) dibantu oleh kakitangan dan pelajar dari IPGM ketika sesi gotong-royong membersihkan kelas yang dilanda banjir di sekolah itu di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD

Dalam pada itu, Mohamad Dziauddin menjelaskan, sekolah tersebut merupakan antara lokasi yang sering dilanda banjir kilat kerana terletak di kawasan rendah serta berhampiran dengan sungai.

“Boleh dikatakan bahawa banjir di kawasan ini berlaku setiap tiga bulan sekali dan perkara itu amat membimbangkan kerana ia melibatkan keselamatan pelajar. Selain arus air yang deras, kita juga risau ancaman binatang berbisa yang boleh bergerak bersama air banjir,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada Bahagian Pendidikan Islam (BPI) dan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mendapatkan penyelesaian jangka panjang berhubung perkara tersebut.

Katanya, antara langkah yang dicadangkan termasuk membina benteng tambahan serta menaik taraf kawasan sekolah bagi mengurangkan risiko banjir berulang selain merangka mekanisme pemindahan awal pelajar sekiranya terdapat tanda-tanda berlakunya kenaikan air di kawasan hulu.

“Kita sedang mempertimbangkan supaya pelajar-pelajar di sekolah ini (SMA Al-Maahadul Islami Tasek Junjung) dipindahkan lebih awal ke Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasik dengan menggunakan bas agar mereka tidak berada di kawasan sekolah ketika air sedang naik,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN