GEORGE TOWN : Dakwaan yang mengatakan bahawa bapa kepada salah seorang suspek kes tikam penuntut kolej sehingga mati di Ketereh, Kelantan pada 1 Mei lalu mempunyai kaitan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah tidak benar sama sekali.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis Kelantan juga telah mengeluarkan kenyataan yang sama berhubung perkara itu sebelum ini.
“Memang suspek itu tidak ada kaitan dengan anak polis pun. Tak ada kaitan langsung. Kita telah bebaskan (dua suspek warga emas) dan lagi dua suspek yang berusia 19 tahun ini pun memang kita akan bebaskan dengan jaminan.
“Kita akan tunggu. Kalau dapat arahan untuk pertuduhan, maka, kita akan tuduhlah,” kata beliau ketika diminta mengulas mengenai dakwaan tersebut yang masih tular di media sosial ketika ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah Bersama Komuniti & Majlis Peluncuran Taman Angkat Amanita Kontinjen Pulau Pinang di padang kawad Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku di Kampung Simah, Ketereh itu, mangsa, Nurfisya Zulkifly, 19, ditemukan maut dengan 61 kesan tikaman.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat, mangsa dipercayai mati dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di situ hasil pemeriksaan awal yang dilakukan oleh pasukan forensik ke atas tubuh wanita berkenaan.-UTUSAN










