GEORGE TOWN : Polis kini sedang melengkapkan siasatan berhubung hantaran gambar berunsur penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dimuat naik di Facebook, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebaik sahaja kertas siasatan itu selesai, suspek yang juga dipercayai pemilik akaun Facebook atas nama Lucas Liam itu akan didakwa di mahkamah.
Beliau berkata, ketika ini, suspek yang ditahan sejak 3 Mei lalu itu sudah dibebaskan selepas direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.
“Pihak AGC (Jabatan Peguam Negara) telah minta kita untuk tunggu dulu hasil laporan analisis data daripada MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), insya-Allah.
“Dan apabila ia siap kelak, kita akan rujuk semula kes ini untuk kita tuduh (dakwa) suspek,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah Bersama Komuniti & Majlis Peluncuran Taman Angkat Amanita Kontinjen Pulau Pinang di padang kawad Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan, suspek yang berusia lingkungan 30-an itu ditahan dalam satu serbuan kira-kira pukul 7.10 malam di Bukit Mertajam.
Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas dua unit telefon bimbit jenama Samsung berserta kad sim yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran di laman Facebook terbabit.
Dalam pada itu, Ayob Khan menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan kenyataan sensitif yang boleh menggugat keharmonian serta menimbulkan kemarahan sesetengah pihak.
“Ada benda yang kita boleh cakap secara terbuka, ada benda kita boleh simpan dalam hati juga. Benda-benda yang boleh menimbulkan kegusaran, kemarahan termasuk isu-isu sensitif seperti agama dan isu-isu diraja ini perlu dielakkan. Begitu juga dengan (isu) perkauman.
“Kalau tak dielakkan, kita khuatir ia akan menimbulkan satu suasana yang tidak aman di Malaysia ini. Tak kiralah siapa pun. Orang politik ke, orang besar negeri ke atau mana-mana kaum. Kalau terlibat, kita akan ambil tindakan,” katanya.-UTUSAN










