GEORGE TOWN: Pulau Pinang tidak boleh sekadar menjadi pemerhati sebaliknya perlu terus bertindak proaktif untuk memperkukuh daya tahan negeri dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib berkata, langkah itu termasuk memberi penekanan kepada kecekapan penggunaan tenaga, sekuriti makanan dan pengurusan fiskal yang berdisiplin.
Katanya, ketegangan berpanjangan di peringkat global termasuk di Asia Barat telah mencetuskan kesan rantaian terhadap kestabilan pasaran dunia, khususnya melibatkan sektor tenaga dan rantaian bekalan.
“Oleh itu, dalam menghadapi realiti yang mencabar ini, Pulau Pinang tidak boleh sekadar menjadi pemerhati sebaliknya terus bertindak lebih proaktif,” katanya ketika berucap pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 di sini, hari ini.
Beliau berkata, Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem ekonomi terbuka tidak terkecuali daripada menerima tempias perkembangan tersebut memandangkan kebergantungan negara terhadap rantau berkenaan adalah signifikan.
Katanya, keadaan itu merangkumi kira-kira 61 peratus import minyak, 30 peratus import gas asli cecair (LNG) serta hampir 40 peratus aliran minyak mentah yang melalui Selat Hormuz.
“Selain itu, ia turut melibatkan keperluan terhadap bahan-bahan kritikal seperti baja, helium dan sulfur yang penting kepada sektor industri dan ekonomi negara.
“Bagaimanapun, asas ekonomi negara masih kekal kukuh dan berdaya tahan hasil tindakan serta langkah positif yang diambil Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya. – UTUSAN










