Pulau Pinang tarik pelaburan RM63.96 bilion

Pulau Pinang tarik pelaburan RM63.96 bilion

TUN RAMLI Ngah Talib (enam dari kanan) bergambar bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di Georgetown, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pulau Pinang merekodkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM63.96 bilion pada 2025 sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara hab teknologi dan perindustrian utama negara ketika ini.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib berkata, berdasarkan data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sektor pembuatan kekal menjadi pemacu utama ekonomi negeri dengan nilai pelaburan sekitar RM22.38 bilion yang banyak dipacu industri Elektrikal dan Elektronik (E&E).

Katanya, sektor perkhidmatan mencatat RM41.22 bilion menerusi sumbangan besar subsektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

“Pulau Pinang hari ini berdiri teguh bukan sahaja sebagai nadi perindustrian negara, malah turut diiktiraf sebagai antara pusat teknologi dan pelaburan berimpak tinggi di rantau ini,” katanya berucap pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15, di sini hari ini.

Komposisi pelaburan domestik dan asing yang masing-masing merekodkan RM38.85 bilion dan RM25.10 bilion mencerminkan keyakinan kukuh pelabur tempatan serta antarabangsa terhadap potensi pertumbuhan ekonomi negeri itu.

“Prestasi perdagangan negeri turut mencatat perkembangan memberangsangkan apabila jumlah dagangan Pulau Pinang pada tahun 2025 mencecah RM956.37 bilion, meningkat 17.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Daripada jumlah tersebut, nilai eksport negeri merekodkan RM573.91 bilion manakala import pula berjumlah RM382.46 bilion sekali gus mengekalkan Pulau Pinang sebagai antara penyumbang utama eksport negara dengan sumbangan sekitar 35.7 peratus kepada keseluruhan eksport Malaysia,” katanya.

Pencapaian itu mencerminkan kekuatan ekosistem pelaburan Pulau Pinang yang kekal berdaya saing, stabil dan terus diyakini pelabur domestik serta antarabangsa.

Mengenai ekonomi digital, beliau berkata, pelaksanaan Digital Economy Master Plan (DEMP) 2025-2030 menyasarkan sumbangan ekonomi digital sehingga 35 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri menjelang tahun 2030.

Ramli berkata, pelan tersebut turut berpotensi menarik pelaburan digital bernilai RM20 bilion selain mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi sekali gus memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab utama ekonomi digital dan teknologi maju di rantau ini.

Katanya, syarikat pemula di Pulau Pinang terus menunjukkan perkembangan positif apabila menerima pembiayaan berjumlah RM23 juta bagi tempoh 2023 hingga awal 2026, selain sebanyak 300 syarikat pemula berdaftar direkodkan setakat 2025 bersamaan kira-kira 60 peratus daripada sasaran Penang2030. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN