GEORGE TOWN: Pulau Pinang memperketatkan kawalan di kesemua pintu masuk antarabangsa ke negeri itu susulan ancaman penularan jangkitan Hantavirus sebagai langkah kesiapsiagaan awal bagi mengekang sebarang risiko jangkitan daripada memasuki negeri berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, langkah itu juga selaras dengan tindakan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini.
“Pulau Pinang telah mempertingkatkan kawalan di semua pintu masuk antarabangsa termasuk di pelabuhan dan lapangan terbang utama bagi memastikan tahap keselamatan kesihatan awam sentiasa terjamin.
“Memang perkara ini telah dibangkitkan oleh KKM di mana beberapa langkah telah pun kita laksanakan,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
Daniel berkata, walaupun terdapat perkembangan kes di beberapa negara Eropah, risiko penularan Hantavirus di Malaysia ketika ini masih dianggap rendah.
Namun begitu, katanya, pihaknya tetap mengambil langkah berjaga-jaga termasuk meningkatkan keupayaan makmal bagi tujuan pengesanan awal sekiranya berlaku kes berkaitan.
“Ini merupakan virus zoonotik dan berdasarkan maklumat KKM, strain tertentu sahaja yang menunjukkan penularan antara manusia. Jadi buat masa ini risiko di Malaysia adalah rendah,” katanya. – UTUSAN










