Penganggur mengaku salah miliki 3,455 liter diesel tanpa lesen - Utusan Malaysia

Penganggur mengaku salah miliki 3,455 liter diesel tanpa lesen

S. ILAYARAJ (tengah) diiringi oleh dua anggota KPDN ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan memiliki lebih 3,000 liter diesel tanpa lesen, minggu lepas.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang pengganggur mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki lebih 3,000 liter diesel tanpa lesen, minggu lepas.

S. Ilayaraj, 28, yang juga bekas pemandu lori membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memiliki barang kawalan berjadual iaitu sebanyak 3,455 liter diesel yang disimpan dalam enam buah tangki tambahan dalam sebuah lori dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Kompleks Penyimpanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang iaitu di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak dalam daerah Seberang Perai Tengah, kira-kira pukul 11 malam pada 5 Mei lalu.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen22(1) akta sama.

Sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi kesalahan kedua atau seterusnya pula, dia berdepan hukuman denda tidak melebihi RM2 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), S. Preeya Darrsini dan Pegawai Pendakwa KPDN, Alsad Nasrullah.

Ketika prosiding, Preeya menawarkan wang jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh kerana mendakwa ia merupakan kesalahan berulang, namun, tertuduh merayu agar jaminan dikurangkan kerana perlu menanggung kedua-dua ibu bapanya.

Hakim kemudian membenarkan lelaki berkenaan diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 10 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia siap.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN