GEORGE TOWN : Sebuah treler antara tiga kenderaan yang terbakar dalam satu kemalangan membabitkan lima kenderaan di laluan bawah tanah Udini, Jalan Masjid Negeri di sini, kira-kira pukul 7.04 pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, selain treler, turut terbakar dalam kejadian itu ialah sebuah van persiaran dan kereta jenis Proton S70 dengan tahap kemusnahan antara 90 hingga 95 peratus.
Beliau berkata, dua lagi kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut iaitu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Cherry Tiggo bagaimanapun tidak terbakar.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan kaedah ‘direct attack’ dan kebakaran berjaya dikawal pada pukul 7.33 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya pada pukul 8.16 pagi.
“Kerja-kerja overhaul kemudian dijalankan sebelum lokasi diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut,” katanya yang memaklumkan, tiada mangsa terlibat dalam kemalangan berkenaan.-UTUSAN










