BUKIT MERTAJAM : Kira-kira 100 penternak kerang dan nelayan di Kampung Kuala Juru di sini berada dalam kebimbangan ekoran tahap pencemaran Sungai Juru yang dilaporkan semakin serius ketika ini.
Pencemaran yang dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa kilang dan sisa kolam ternakan udang di kawasan itu bukan sahaja telah menyebabkan kerang dan ikan yang diternak itu mati, malah, menjejaskan lebih separuh daripada hasil pendapatan mereka ketika ini.
Hasil tinjauan yang dilakukan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini mendapati, air Sungai Juru sentiasa keruh dipercayai tercemar oleh sisa buangan dari pintu saliran sisa kilang dan saluran paip buangan sisa kolam ternakan udang yang terletak berhampiran sungai itu.
Menurut Ketua Nelayan Kuala Juru, Wahid Othman, 50, masalah pencemaran yang bertambah serius itu berlaku sejak setahun yang lalu apabila pintu sisa buangan kilang di Sungai Derhaka yang menghubungkan Sungai Juru di sini dibuka semula setelah ditutup sejak sekian lama.
Katanya, pembuangan sisa kimia ke dalam Sungai Juru kerap berlaku pada waktu pagi sehingga menyebabkan air sungai itu menjadi kehitaman dan berbau busuk.
“Selain banyak kerang yang mati, bangkai ikan juga pernah dijumpai terapung di permukaan air oleh nelayan di sini,” katanya yang berharap agar pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah tersebut.
Sementara itu, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader menggesa kerajaan negeri, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perikanan serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk bertindak segera bagi mengatasi masalah pencemaran Sungai Juru yang semakin membimbangkan.
“Penutupan segera saliran yang tercemar dengan sisa buangan di sepanjang Sungai Juru perlu dilakukan bagi menyelamatkan sungai tersebut daripada terus tercemar kerana pencemaran ini bukan saja boleh mengancam alam sekitar dan sumber pendapatan nelayan di sini, tetapi juga menjejaskan bekalan makanan untuk rakyat.
“Pada masa yang sama, CAP juga meminta pihak kerajaan untuk membantu penternak kerang dan nelayan yang terlibat dengan memberi bantuan sewajarnya kepada mereka bagi meneruskan aktiviti yang sudah lama diceburi itu,” katanya.-UTUSAN










