BUTTERWORTH : Seorang remaja lelaki mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki lebih 3,000 liter diesel tanpa lesen, Khamis lalu.
M. Thiinesh, 19, yang juga seorang penganggur membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki barang kawalan berjadual iaitu sebanyak 3,455 liter diesel yang disimpan dalam enam buah tangki IBC pada bahagian belakang sebuah lori kanvas berwarna merah dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Penyimpanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang iaitu di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak dalam daerah Seberang Perai Tengah, kira-kira pukul 11.30 malam pada 14 Mei lalu.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan boleh dihukum di bawah Seksyen22(1) akta sama.
Sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi kesalahan kedua atau seterusnya pula, dia berdepan hukuman denda tidak melebihi RM2 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), S. Preeya Darrsini dan Pegawai Pendakwa KPDN, Alsad Nasrullah.
Mahkamah seterusnya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri kepada pegawai penyiasat KPDN pada setiap bulan.
Kes akan disebut semula pada 24 Jun depan sementara menunggu laporan kimia serta lantikan peguam.-UTUSAN










