NIBONG TEBAL : Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM105,000 bagi tujuan menaik taraf bilik guru di empat buah sekolah dalam kawasan Parlimen Nibong Tebal di sini.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal membuat pengumuman itu ketika beliau turun padang untuk melawat sekolah-sekolah tersebut, hari ini.
Menurut Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal, empat buah sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Jawi dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Transkrian.
“Bersempena sambutan Hari Guru Tahun 2026, Fadhlina turut menyalurkan peruntukan menerusi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal berjumlah RM210,000 bagi tujuan pemasangan penyaman udara di bilik guru melibatkan semua 42 buah sekolah di Nibong Tebal,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sementara itu, Fadhlina berkata, beliau sentiasa prihatin terhadap aspek kesejahteraan guru dan Kementerian Pendidikan (KPM)juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan kesejahteraan serta kebajikan warga pendidik diberi perhatian termasuk usaha berterusan bagi menangani beban tugas guru.
“Inisiatif untuk menaik taraf bilik guru dan memasang penyaman udara adalah antara langkah yang diambil bagi memastikan keselesaan guru sewaktu di sekolah dapat ditingkatkan,” ujar beliau.
Untuk rekod, pelaksanaan inisiatif menaik taraf bilik guru di sekolah-sekolah seluruh negara yang berjumlah RM100 juta telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu meluncurkan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035, Januari lalu.-UTUSAN










