GEORGE TOWN : Kesedaran masyarakat termasuk di Pulau Pinang terhadap kepentingan untuk mempelajari ilmu berkaitan falak kini semakin meningkat.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, rata-rata masyarakat juga telah memahami bahawa ilmu falak tidak terhad kepada bidang sains yang digunakan untuk mengkaji serta menentukan takwim solat atau hanya terhad kepada ilmu untuk melihat anak bulan semata-mata.
“Ilmu falak ini ialah ilmu astronomi iaitu ilmu-ilmu yang berkaitan dengan langit dan bumi serta darat dan laut. Maka, sebab itulah pembentang-pembentang yang dijemput untuk menghadiri konvensyen berkaitan falak ini juga terdiri daripada mereka yang mahir dalam bidang masing-masing.
“Contohnya seperti dalam bidang pertanian, bidang perikanan, bidang-bidang yang merentasi hal berkaitan ilmu falak umpamanya seperti penternakan berkaitan dengan laut dan sebagainya yang perlu difahami oleh masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Falak Peringkat Negeri Pulau Pinang di Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini. Hadir sama Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman serta Naib Canselor USM, Prof. Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Bertemakan ‘Falak Dalam Kehidupan’, konvensyen yang berlangsung selama dua hari itu sarat dengan beberapa siri pembentangan oleh pakar serta ahli akademik yang turut mengupas beberapa isu berkaitan ilmu falak selain sesi bengkel, forum serta pertandingan berkaitan.
Turut diadakan sempena konvensyen itu ialah pelancaran Jurnal Syeikh Abdullah Fahim (Jusaf) serta majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang selaku penganjur program dengan pihak USM.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, pemeteraian memorandum tersebut menjadi asas kepada satu bentuk kerjasama yang lebih tersusun dan berterusan antara kedua-dua institusi berkenaan ketika ini.
Katanya, melalui kerjasama tersebut, USM menerusi Pusat Pengajian Sains Fizik akan memperkukuh penyelidikan berkaitan falak dan astronomi, cerapan anak bulan, perkongsian data saintifik, pembangunan kepakaran serta program pendidikan dan kesedaran masyarakat.
“Dalam hal ini, saya yakin gabungan kepakaran syariah Jabatan Mufti dan kepakaran saintifik USM akan menghasilkan manfaat yang lebih besar kepada negeri dan negara,” ujar beliau.-UTUSAN











