PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mempertimbang pelaksanaan subsidi diesel menerusi penggunaan kad fleet kepada kira-kira 7,000 penyedia perkhidmatan pertanian di seluruh negara membabitkan peruntukan sekitar RM200 juta.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada penyedia perkhidmatan pertanian termasuk operator mesin membajak, jentera menuai dan lori pengangkut yang disewa pesawah.
Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi memastikan kelancaran aktiviti pertanian memandangkan sebahagian besar pesawah bergantung kepada perkhidmatan pihak ketiga untuk menjalankan kerja di sawah.
“Kebanyakan pesawah tidak memiliki mesin besar sendiri dan mereka bergantung kepada penyedia perkhidmatan pertanian.
“Kerajaan setiap masa mengambil maklumat berkaitan keadaan pesawah. Baru-baru ini semasa pembajakan dan sebagainya, kita telah menghulurkan bantuan dan melihat perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan pembayaran insentif pembajakan kepada pesawah pada kadar RM300 sehektar yang dibayar dalam dua peringkat.
Selain bayaran pendahuluan RM200 sehektar secara sekali bayar kepada pesawah yang layak sebelum atau semasa kerja pembajakan dimulakan, baki RM100 sehektar pula akan dibayar selepas kerja pembajakan selesai dan disahkan oleh agensi berkaitan mengikut prosedur ditetapkan.
Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata, pertubuhan antarabangsa termasuk Food and Agriculture Organization (FAO) menjangkakan kenaikan harga baja susulan konflik geopolitik dunia yang menjejaskan pengeluaran bahan mentah seperti fosfat.
Beliau berkata, meskipun bekalan baja di Malaysia ketika ini masih mencukupi, kerajaan akan terus melaksanakan intervensi sewajarnya bagi mengurangkan kesan kenaikan harga terhadap sektor pertanian.
Mohamad turut mengakui berlaku kenaikan harga beberapa jenis sayur di Kelantan, namun keadaan itu masih terkawal dan belum menunjukkan peningkatan mendadak secara menyeluruh.
“Kementerian melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedang memantau keadaan itu dan laporan lanjut dijangka diperoleh dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN










