ALOR SETAR: Pengumuman pemberian pendahuluan RM200 bagi insentif pembajakan kepada 240,000 pesawah disambut baik sebagai langkah awal meringankan beban, namun berharap kerajaan meneliti mekanisme lebih menyeluruh termasuk pelaksanaan sistem kad fleet bagi mengawal kos operasi jentera.
Pengerusi Peladang Muda PPK MADA, Aswadil Khairi Omar berkata, bantuan itu sedikit sebanyak membantu pesawah muda, namun jumlah itu wajar dikaji semula agar lebih realistik dengan kos semasa.
Menurutnya, cadangan penggunaan kad fleet dilihat lebih berkesan kerana melibatkan keseluruhan operasi jentera yang menjadi komponen utama dalam aktiviti pembajakan.
“Ketika ini terdapat kira-kira 240,000 pesawah berbanding hanya sekitar 20,000 jentera. Jadi kebergantungan kepada jentera sangat tinggi dan harga yang tidak menentu memberi tekanan kepada kami. Dengan adanya kad fleet, kos boleh dikawal dan beban pesawah terutama pesawah muda dapat diringankan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Peningkatan kos seperti minyak dan alat ganti memberi kesan kepada pengusaha jentera yang akhirnya dipindahkan kepada pesawah.
“Dalam masa sama, minat golongan muda terhadap sektor sawah padi semakin berkurangan disebabkan kos tinggi walaupun ramai masih meneruskan usaha kerana faktor warisan keluarga.
“Kami tidak mahu mengambil tindakan drastik seperti terus berdemonstrasi kerana bimbang menjejaskan imej sektor pertanian negara. Namun kami harap kerajaan dapat mendengar suara pesawah dan meneliti keperluan sebenar di peringkat akar umbi,” katanya.
Sementara itu, seorang pesawah, Ridzuan Mansor, 54, berkata, bantuan RM200 sebagai langkah positif, namun mencadangkan agar ia diselaraskan mengikut keluasan hektar bagi memberi manfaat lebih adil kepada pesawah.
“Kalau boleh dilaksanakan mengikut hektar, mungkin lebih seimbang. Bantuan ini bukan tidak dihargai, tetapi jumlahnya masih belum mencukupi dengan kos pembajakan semasa. Jika ada kad fleet, ia lebih membantu kerana boleh mengawal harga,” katanya.
Seorang lagi pesawah, Shukri Baharom, 64, berkata, kenaikan harga diesel menyebabkan pengusaha jentera menaikkan kadar upah, sekali gus meningkatkan beban petani.
“RM200 itu membantu, tetapi belum cukup untuk menampung kos sebenar. Dalam jangka panjang, kerajaan perlu pertimbang kad fleet kerana penggunaan jentera hanya melibatkan tempoh singkat setiap musim,” katanya.
Menurutnya, berbanding sektor lain seperti perikanan yang menikmati kemudahan bahan api bersubsidi sepanjang tahun, pesawah hanya memerlukan sokongan bagi tempoh tertentu sahaja, justeru pelaksanaan mekanisme itu dilihat tidak membebankan kerajaan tetapi mampu memberi impak besar kepada pesawah. – UTUSAN










