PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 53 tahun, rentung dalam kebakaran lima buah rumah teres setingkat di Taman Ehsan, Kepong, awal pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.31 pagi dengan jentera bomba pertama tiba di lokasi kira-kira 19 minit kemudian.
Beliau berkata, kebakaran melibatkan lima rumah teres dengan tahap kemusnahan antara 20 hingga 100 peratus
“Kebakaran turut memusnahkan dua kenderaan iaitu sebuah Hyundai Getz dan Hyundai XG 250 yang terbakar sepenuhnya. Mayat mangsa ditemukan di atas katil di sebuah bilik tidur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi memadam kebakaran melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dengan bantuan BBP Rawang, Jinjang dan Manjalara.
“Api berjaya dikawal pada pukul 3.42 pagi dan dipadam sepenuhnya pada 7.15 pagi,” katanya. – UTUSAN










