KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat industri minyak dan gas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan baucar bayaran palsu membabitkan kerja-kerja pembinaan di luar negara berjumlah RM4.2 juta.
Tertuduh, Sohpian Ariffin, 46, didakwa mengemukakan tiga baucar bayaran satu syarikat bagi kerja-kerja ‘Submission of Reimbursement for Overseas Project KPO’ masing-masing bertarikh 13 November 2018, 22 April 2019 dan 4 Februari 2020 yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.
Dokumen mengandungi butiran palsu diberikan kepada pegawai kewangan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dengan niat untuk memperdayakannya sedangkan kerja-kerja berkenaan tidak pernah dilakukan.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di pejabat MTDC di Jalan Bukit Bintang di sini dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa SPRM, A. Selvam mencadangkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM Putrajaya dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Pendakwaan turut memohon agar tertuduh dilarang daripada mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Peguam bela, Riza Makhzan Arifin yang mewakili Sohpian memohon agar jumlah ikat jamin itu dikurangkan atas alasan anak guamnya menanggung isteri dan empat anak serta menghidap penyakit asma.
Hakim Suzana Hussin menetapkan wang jamin RM60,000 bagi kesemua tiga pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan. Kes ditetapkan untuk sebutan pada 21 April ini. – UTUSAN










