BANDAR BAHARU: Projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar Lama bernilai RM51.99 juta yang siap pada 8 Januari lalu berupaya menyelesaikan masalah bekalan air melibatkan kira-kira 12,000 akaun pengguna di daerah ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, LRA berkenaan kini mempunyai kapasiti 34 juta liter sehari (MLD), manakala LRA Lubuk Buntar Baru yang sedia ada beroperasi berkapasiti 25 MLD.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kapasiti bekalan air di kawasan ini meningkat kepada 59 MLD, sekali gus mampu memenuhi keperluan penduduk di daerah Bandar Baharu serta sebahagian kawasan Kulim,” katanya pada majlis penyerahan Projek Menaik Taraf LRA Lubuk Buntar Lama, di sini.
Antara komponen utama projek adalah membina tangki air di Kampung Air Putih dan Relau masing-masing berkapasiti 300 meter padu, serta pembinaan tangki menara di Pekan Selama berkapasiti 2,700 meter padu.
Projek turut melibatkan kerja membaik pulih dan menggantikan tangki di Pekan Serdang, Pekan Bandar Baharu dan Bukit Perangin, selain membina rumah pam baharu di Air Putih bagi membekalkan air ke tangki Relau.
Muhammad Sanusi berkata, projek itu menjadi detik penting dalam sejarah pembangunan bekalan air khususnya di Bandar Baharu selepas sekian lama penduduk berdepan tekanan air rendah dan gangguan bekalan.
“Dengan siapnya LRA ini, kita bukan sahaja merasmikan sebuah projek, tetapi meraikan penyelesaian kepada masalah rakyat yang telah berlarutan begitu lama. Kerajaan negeri faham isu bekalan air terawat di kawasan ini bukan perkara baru, terutama melibatkan kawasan luar bandar dan hujung rangkaian paip yang sering mengalami tekanan air rendah,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memohon maaf kepada orang ramai disebabkan kesulitan yang dialami sebelum ini dan memberi jaminan kerajaan negeri akan terus memastikan bekalan air menjadi kemudahan asas yang stabil dan berkualiti.
“Saya faham betapa susahnya terpaksa catu air setiap hari. Ada yang terpaksa simpan air dalam tong, ada yang terpaksa berjaga malam tadah air, terpaksa tunggu lori tangki dan ada yang terpaksa berjimat dalam keadaan yang sepatutnya tidak berlaku.
“Saya mendengar masalah dan kita usahakan penyelesaian secara berperingkat tetapi menyeluruh. Kita tidak mahu lagi isu air menjadi beban kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










