PAPAR: Masalah gangguan bekalan air di daerah ini semakin memburuk apabila bilangan penduduk terjejas meningkat iaitu daripada 54,000 kepada 100,000 orang ketika ini.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, anggaran awal penduduk terjejas adalah 54,000 orang yang melibatkan 28 buah kampung.
Namun kini, katanya, keadaan semakin buruk apabila 43 kampung dan taman perumahan terjejas melibatkan kira-kira 100,000 penduduk.
Justeru, kapasiti penghantaran air mula ditingkatkan daripada 600,000 liter sehari kepada 1.18 juta liter sehari selepas daerah ini diisytiharkan sebagai kawasan bencana kemarau.
“Sebaik sahaja diisytiharkan kawasan bencana dan selepas bermesyuarat di peringkat daerah, kita menerima bantuan aset daripada beberapa daerah. Setakat ini, kita meningkatkan kadar air yang dihantar kepada 1.18 juta liter sehari.
“Namun, kapasiti tersebut masih jauh daripada mencukupi untuk dihantar secara terus ke kampung-kampung. Tapi, kita akan berusaha meningkatkan penghantaran,” katanya semasa meninjau proses penghantaran air di Kampung Kuala, di sini hari ini
Katanya, bantuan penghantaran air akan diteruskan sehingga dua Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau boleh beroperasi semula dengan kapasiti penuh.
“Diharapkan LRA Kogopon yang kini menjadi satu-satunya sumber untuk mengambil bekalan air tidak berhadapan sebarang isu.
“Saya khuatir masalah air ini berlanjutan untuk tempoh lebih lama kerana Fenomena El-Nino dijangka berterusan sehingga Mei,” katanya. – UTUSAN










