ALOR SETAR: Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Perlis di Bukit Chabang, Padang Besar dijangka mula beroperasi pada Jun 2027 selepas projek pembangunan sekolah itu terbengkalai selama 12 tahun.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, pengambilan awal melibatkan 75 pelajar tingkatan satu yang terdiri daripada 52 pelajar lelaki dan 23 perempuan.
Beliau berkata, projek yang terbengkalai sejak 2013 itu dijangka siap tahun ini selepas diambil alih oleh syarikat milik kerajaan pada April tahun lalu atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Projek ini berjaya diselesaikan oleh kerajaan dalam tempoh kurang dua tahun dengan SSM Perlis akan menjadi pusat kecemerlangan sukan bagi zon utara.
“Ia sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai anak muda dari Perlis dan negeri-negeri sekitar untuk menggilap bakat dalam persekitaran pendidikan dan latihan yang lebih sistematik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohammed Taufiq berkata, kumpulan perintis tersebut akan mengikuti latihan dalam enam jenis sukan iaitu badminton, bola jaring, bola sepak, memanah, olahraga dan sepak takraw.
Tambah beliau, pengoperasian sekolah itu akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan penempatan pentadbir dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) pada Januari 2027, sebelum guru serta jurulatih pada Mac tahun sama.
“Sesi pengenalpastian bakat (TID) dijadualkan pada April 2027 bagi memastikan pengambilan murid berpotensi dalam bidang sukan ditawarkan.
“Sebanyak 15 guru, 15 jurulatih dan 11 AKP akan ditempatkan bagi memastikan pembangunan murid merangkumi aspek akademik, kecemerlangan sukan, sahsiah dan kesejahteraan,” katanya.
Katanya, kejayaan Perlis meraih 17 pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) 2026 membuktikan potensi atlet di utara tanah airbyang memerlukan sokongan prasarana dan pembangunan lebih tersusun.
“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan (KPM) serta persatuan sukan bagi memperkukuh laluan pembangunan atlet dari peringkat sekolah sehingga ke pentas kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, ujar Mohammed Taufiq, Fasa 2 dengan peruntukan RM104 juta yang bakal dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan memperluas kapasiti sekolah serta menambah cabang sukan yang ditawarkan. – UTUSAN










