BAGAN SERAI: Penduduk 10 buah kampung di Alor Pongsu di sini mengalami masalah tekanan air rendah ke rumah mereka sehingga menjejaskan keperluan air harian.
Masalah itu dikatakan sudah berlaku sejak tiga tahun lalu melibatkan kawasan Kedai Dua, Kampung Matang Merbau, Kampung Kilang Bata, Parit Haji Kassim 1 dan 2, serta sepanjang kawasan perumahan di Jalan Selama dari hadapan Kampung Matang Merbau hingga ke pekan Alor Pongsu.
Seorang penduduk, Asman Hariza Mohamad, 38, berkata, tekanan air rendah menjejaskan keperluan air harian untuk mandi, memasak, membasuh dan lain-lain keperluan.
Menurutnya, masalah itu semakin kritikal sehingga kebanyakan penduduk terpaksa menunggu lama setiap kali mahu mengisi air, terutama pada waktu puncak seperti pagi, Maghrib dan musim perayaan.
“Ada ketikanya penduduk terpaksa menunggu sehingga lima jam bagi mengisi air ke dalam tangki. Kalau musim perayaan, lebih teruk. Tekanan air sangat perlahan sehingga paip dibuka pun air langsung tidak keluar.
“Jika waktu Maghrib, kita nak cepat mandi untuk solat, tapi air paip keluar perlahan sangat. Kadang-kadang langsung tak boleh mandi.
“Kalau musim perayaan dan cuti sekolah, kami terpaksa buka paip mulai senja dan tangki hanya penuh selepas tengah malam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi penduduk, Mohammad Alif Imran Mohamad Tarmizi, 26, berkata, air dari paip sangat kecil dan kalau musim perayaan, hanya satu paip sahaja boleh digunakan manakala paip lain langsung tiada air.
“Hanya pada waktu malam air paip laju sedikit. Masalah ini menjejaskan aktiviti asas seperti membasuh pakaian, mandi dan memasak, sehingga memaksa penduduk menunggu hingga lewat malam untuk mendapatkan bekalan air.
“Kami berharap pihak berwajib segera ambil tindakan. Kami mahu tekanan air normal seperti di tempat lain agar kami boleh jalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali berkata, masalah tekanan air rendah di kawasan Alor Pongsu telah diperjuangkan sejak hari pertama beliau menjadi wakil rakyat.
Menurutnya, kerja-kerja penggantian paip lama sudah diluluskan sejak 2019, tetapi sehingga hari ini belum dilaksanakan dan masalah itu sudah dibangkitkan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), namun tiada perkembangan ketara.
“Setiap kali paip pecah, penduduk bukan sahaja menerima bekalan air yang kotor, malah tekanan air menjadi terlalu kecil sehingga menyukarkan urusan harian.
“Saya pernah nyatakan dalam DUN bahawa ada kes tok imam tidak dapat ke masjid kerana tidak boleh mandi wajib. Ini realiti, bukan rekaan,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, punca utama masalah itu ialah paip lama yang uzur dan bersaiz kecil dan tidak mampu menampung keperluan semasa penduduk yang semakin meningkat.
Beliau berkata, paip mudah pecah dan gangguan air kerap berlaku ketika kerja pembaikan dijalankan.
“Walaupun projek penggantian paip telah mendapat kelulusan sejak 2019, pelaksanaannya masih tertangguh kerana belum memperoleh kebenaran kerja daripada Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya. – UTUSAN










