ROM: Kemunculan misteri seekor buaya di sebuah perkampungan kecil telah menggemparkan penduduk setempat di Tuscany, Itali.
Ia turut mencetuskan kehadiran luar biasa pengunjung dan pemburu yang berpusu-pusu ke kawasan itu demi melihat reptilia tersebut.
Kehadiran haiwan tersebut mula dikesan menerusi sekeping gambar yang memaparkan kelibatnya sedang mengendap di dalam sebuah tasik keruh di kampung Masiano.
Bahagian mata dan muncung buaya itu kelihatan memecah permukaan air, betul-betul menghadap ke arah kontraktor penyelenggaraan tasik yang merakam gambar itu di sebalik ranting-ranting kayu mati.
Sejak gambar itu tular pada Mei lalu, penduduk di perkampungan yang terletak kira-kira 43 kilometer ke barat laut Florence itu kini terbahagi kepada dua kumpulan, sama ada mahu mempercayai kewujudan sebenar buaya tersebut atau sebaliknya.
Buaya itu dikatakan terlepas ke Masiano selepas melarikan diri daripada kurungan individu yang memeliharanya sejak kecil.
Ia kemudian hanyut ke tasik tersebut ketika bencana banjir besar melanda wilayah berkenaan kira-kira tiga tahun lalu.
Tasik yang dianggarkan sedalam 15 meter itu dipenuhi dengan pelbagai spesies ikan, sekali gus menyediakan bekalan makanan yang mencukupi untuk reptilia tersebut bersembunyi. Selain itu, keadaan tebing tasik yang curam dan pagar kukuh di sekelilingnya dikatakan dapat menghalang haiwan tersebut daripada terlepas ke kawasan luar.
Susulan penemuan misteri itu, pemilik tasik berkenaan, Vivai Reali, bertindak melaporkan insiden tersebut kepada pihak polis tempatan dan mengupah seorang pemburu buaya profesional dari Perancis untuk menangkapnya.
Bagaimanapun, usaha pemburu terbabit, Olivier Behra, yang memasang perangkap kamera dan sangkar besi sejak minggu lalu masih belum membuahkan sebarang hasil. – AGENSI










