Pusat data bukan masalah air Pontian

Pusat data bukan masalah air Pontian

SAJ Ranhill menghantar bekalan air bersih kepada penduduk yang terjejas di lima mukim daerah Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Gangguan bekalan air di lima mukim di daerah ini termasuk Simpang Renggam sejak minggu lalu berpunca daripada penyusutan paras sumber air mentah akibat kemarau berpanjangan dan bukannya disebabkan pembinaan pusat data.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, Simpang Renggam dan Benut bukan lokasi pembangunan pusat data, malah tiada pusat data menerima bekalan air di kawasan berkenaan.

Menurutnya, walaupun hujan mula turun sejak beberapa hari lalu, paras sungai dan Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam yang membekalkan air ke kawasan terjejas masih belum kembali ke tahap optimum.

“Dakwaan mengaitkan isu ini dengan pusat data adalah tidak benar kerana tiada pusat data menerima bekalan air di kawasan Simpang Renggam dan Benut, Pontian.

“Kami komited memastikan bekalan air stabil untuk rakyat di samping memastikan pembangunan industri di Johor dilaksanakan secara terkawal, berhemah dan bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau berkata, keupayaan maksimum LRA Simpang Renggam yang memproses air mentah daripada Sungai Ulu Benut dengan sokongan sumber dari Empangan Machap adalah sebanyak 64 juta liter sehari.

Bagaimanapun, katanya untuk membolehkan loji beroperasi pada kapasiti penuh, paras Sungai Benut perlu melebihi 4.90 meter, namun ketika ini direkodkan sekitar 4.66 meter, iaitu masih di bawah tahap operasi optimum.

“Keadaan ini mengehadkan penggunaan pam sepenuhnya dan menjejaskan pengeluaran air terawat, sekali gus memerlukan pelaksanaan bekalan air berjadual bagi memastikan agihan lebih adil dan seimbang,” katanya.

Tambah beliau, bagi mempercepat pemulihan paras air mentah, operasi pembenihan awan telah dilaksanakan di kawasan tadahan utama termasuk Empangan Upper Layang, Empangan Pulai dan Empangan Machap dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Dalam pada itu, penduduk menyifatkan gangguan kali ini antara yang paling teruk dalam tempoh tujuh tahun, lebih-lebih lagi berlaku ketika Ramadan.

Pesara kerajaan, Peros Abd. Aziz, 62, berkata, dia bersama tujuh ahli keluarga terpaksa berulang-alik dua kali sehari ke tangki air yang disediakan bagi mendapatkan bekalan harian.

“Sehari kami perlu membawa empat tong untuk diisi penuh. Rutin ini terpaksa dilakukan setiap hari sejak seminggu lalu. Ini kali pertama Ramadan disambut tanpa bekalan air bersih,” katanya.

Beliau berkata, gangguan tersebut turut menjejaskan persiapan penyediaan bubur lambuk di lebih 50 masjid dan surau di kawasan terjejas.

Seorang ibu kepada tiga anak, Azura Md. Amin, 40, pula mengambil keputusan pulang ke kampung halaman suaminya di Kota Tinggi sempena cuti sekolah dan awal Ramadan susulan masalah bekalan air berkenaan.

“Masalah ini bukan sahaja mengubah perancangan, malah menambah kos untuk membeli air bersih dan menghantar pakaian ke dobi. Bagi keluarga besar, kesannya memang terasa, terutama pada bulan Ramadan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN