GEORGE TOWN: Gara-gara melakukan kelucahan melampau di tanah perkuburan Cina, seorang pengawal keselamatan dan wanita masing-masing dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Tertuduh M. Jegathesan, 58, dan Halila Abu Bakar, 37, dijatuhi hukuman itu selepas kedua-duanya mengaku bersalah di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.
Kedua-dua tertuduh secara bersama-sama telah melakukan perbuatan kelucahan melampau di kawasan tanah perkuburan Cina yang merupakan satu tempat awam di Batu Gantung, Ayer Itam pada pukul 8.30 pagi, 22 Mac lalu.
Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin memohon mahkamah mengenakan hukuman yang memberi pengajaran sebagai teladan kepada kedua-dua tertuduh serta orang lain agar tidak mengulangi kesalahan serupa pada masa depan.
“Kedua-dua tertuduh juga mempunyai pegangan agama masing-masing yang melarang perbuatan sedemikian. Insiden ini juga berlaku di kawasan awam. Kami memohon mahkamah mengambil kira perkara ini serta kepentingan awam,” katanya.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam, R. Purantharan kemudian memohon agar mahkamah mengenakan hukuman yang minimum kepada kedua-duanya memandangkan pengakuan bersalah telah menjimatkan masa mahkamah.
“Halila tidak bekerja dan masih bujang manakala Jegathesan pula bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM1,800 sebulan serta perlu menyara keluarga kerana isterinya sedang menderita sakit angin ahmar serta mempunyai dua orang anak,” katanya.
Sebelum ini, polis menahan seorang lelaki dan wanita yang disyaki terlibat dalam perbuatan lucah di sebuah tanah perkuburan selepas video kejadian itu tular di media sosial.-UTUSAN










