Sejak lebih 50 tahun lalu, Batu Ferringhi kekal sebagai nadi pelancongan utama di Pulau Pinang.
Terletak di pesisir barat laut negeri itu, kawasan peranginan berkenaan sinonim dengan pantai memutih, panorama matahari terbenam yang memukau dengan deretan hotel dan resort bertaraf antarabangsa yang berdiri megah menghadap Selat Melaka.
Daripada sebuah perkampungan nelayan, Batu Ferringhi berkembang pesat menjadi destinasi percutian tersohor di utara Semenanjung Malaysia.
Limpahan pembangunan sektor pelancongan bukan sahaja merancakkan ekonomi setempat, malah membuka peluang pekerjaan dalam industri perhotelan, homestay, motel, rumah tumpangan, perkhidmatan makanan, sukan air dan peruncitan.
Walaupun tiada data rasmi dikeluarkan berhubung jumlah sebenar kedatangan pelancong, peningkatan kadar tempahan bilik hotel sama ada bertaraf lima bintang atau sebaliknya memberi gambaran jelas bahawa kawasan itu terus menjadi pilihan pelancong tempatan dan asing.
Pasar malam Batu Ferringhi yang pernah menjadi platform penduduk memasarkan cen-deramata dan produk tempatan juga masih menerima kunjungan, meskipun tidak semeriah dahulu.
Bagaimanapun, Batu Ferringhi tidak terlepas daripada cabaran.
Tragedi tsunami 2004 dan pandemik Covid-19 pada 2020, memberi impak besar terhadap kelangsungan industri pelancongan di sini.
Mingguan Malaysia baru-baru ini berkesempatan meninjau suasana dan senario terkini yang berlaku di kawasan peranginan yang pernah mendapat jolokan Lovers’ Isle atau Pulau Kekasih itu.
MASALAH HAKISAN PANTAI
Ketika usaha mengembalikan kegemilangan giat dilaksanakan menerusi penganjuran pelbagai festival serta penaiktarafan kemudahan awam, isu hakisan pantai pula mencetuskan kebimbangan baharu.

– MINGGUAN/DANIAL SAAD
Berdasarkan kajian saintifik menggunakan sistem Analisis Garis Pantai Digital sejak 2016, kadar hakisan di beberapa lokasi sepanjang pantai Batu Ferringhi dilaporkan mencecah antara tiga hingga empat meter setahun.
Hakisan berlaku di saat beberapa projek pembangunan sedang rancak dilaksanakan di kawasan berkenaan termasuk projek tambakan laut di Pulau Andaman dan sebagainya.
Menurut kajian saintifik berkaitan perubahan garis pantai dijalankan menerusi sistem Digital Shoreline Analysis atau Analisis Garis Pantai Digital untuk tempoh lima tahun bermula 2016 lalu, kadar hakisan pantai di Batu Ferringhi jelas menunjukkan berlakunya kadar perubahan yang nyata.
Kajian saintifik itu menyatakan, di beberapa lokasi tertentu khususnya sepanjang pantai Batu Ferringhi, kadar hakisan boleh mencapai antara tiga hingga empat meter setiap tahun.
Dakwaan bahawa projek tambakan laut menjadi punca utama hakisan pantai dinafikan kerajaan negeri yang menegaskan faktor semula jadi memainkan peranan besar dalam fenomena tersebut.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, pantai Batu Ferringhi sememangnya berdepan hakisan setiap kali Monsun Timur Laut, namun keadaan kali ini dilihat lebih serius.
Katanya, situasi itu menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan pengunjung dan kelangsungan aktiviti pelancongan yang menjadi nadi ekonomi setempat.
Sehubungan itu, langkah segera telah diambil termasuk meninggikan benteng beg pasir di kawasan terjejas sebagai penyelesaian jangka pendek.
“Bagi jangka panjang, Jabatan Pengairan dan Saliran negeri sedang mengemas kini Kajian Semula Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu Negeri (ISMP). Kajian ini dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga 2027 bagi memastikan langkah pencegahan lebih sistematik dan berkesan,” katanya.

Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bungah menegaskan, berdasarkan laporan rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran, kejadian hakisan luar biasa yang berlaku baru-baru ini dipengaruhi faktor seperti paras air pasang besar dan peningkatan kelajuan ombak, bukannya semata-mata akibat aktiviti penambakan laut.
Sementara itu, jurucakap Pertubuhan Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI), Andrew Han berkata, kerajaan negeri tidak seharusnya membuat ke-simpulan awal bahawa projek tambakan bukan faktor penyumbang kepada hakisan pantai tanpa siasatan dan kajian menyeluruh.
Katanya, fenomena hakisan lazimnya berpunca daripada gabungan pelbagai faktor termasuk perubahan iklim, peningkatan paras laut dan impak pembangunan pesisir seperti penambakan yang sedang dilaksanakan ketika ini.
“Kerajaan negeri wajar mengutamakan pendekatan nature-based solutions seperti pemulihan vegetasi pantai, perlindungan ekosistem semula jadi dan kaedah pengurusan pantai yang lebih mampan dan berdaya tahan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Tambahnya, proses libat urus bersama komuniti setempat, pengusaha pelancongan serta pakar bebas amat penting bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti, sekali gus memulihkan keyakinan awam terhadap langkah yang diambil.

Sekiranya isu hakisan berlarutan, kesannya boleh menjejaskan industri pelancongan khususnya di Batu Ferringhi yang merupakan ikon pantai di Pulau Pinang.
“Jika tidak ditangani secara mampan, imej dan daya saing destinasi ini sebagai lokasi pelancongan bertaraf antarabangsa boleh terjejas dalam jangka panjang. Persepsi rakyat terhadap keupayaan kerajaan negeri juga akan merosot sekiranya pembangunan dilihat tidak seimbang,” ujarnya.
RAMAI PELANCONG LUAR
Penduduk setempat dikenali sebagai Zamri, 58, berkata, destinasi itu masih menjadi tumpuan pelancong asing, tetapi corak pelancongan berbeza dengan kebanyakan pelancong datang dari China, Taiwan atau Barat.
“Dulu ramai pelancong Arab, tetapi sekarang berkurangan. Dulu saya boleh bercakap Bahasa Arab kerana selalu berurusan dengan mereka ketika bekerja di agensi pelancongan,” katanya.
Zamri, yang kini bekerja sebagai pemandu Grab, merasakan kemeriahan Batu Ferringhi masih ada, tetapi auranya kurang.
“Macam pasar malam di sini. Dahulu, petang dan malam memang meriah. Hari-hari ada, kadang-kadang orang berniaga sampai dua lorong, jual makanan, cenderamata, dan produk kampung nelayan. Sekarang, satu lorong pun tak penuh, dan barang yang dijual pun biasa-biasa sahaja,” katanya.
Bapa kepada tiga anak yang tinggal berhampiran Masjid Terapung Batu Ferringhi ini mengakui melihat perubahan jelas destinasi berkenaan ketika ini.
Zamri berkata, kerajaan negeri perlu mencari alternatif baharu untuk memulihkan tarikan Batu Ferringhi, agar tidak lagi menjadi destinasi eksklusif untuk golongan tertentu sahaja.
“Harap nostalgia Batu Ferringhi dahulu dapat dikembalikan, supaya semua pengunjung boleh menikmati suasana meriah dan pelbagai aktiviti yang dulu terkenal di sini,” katanya.
Beliau yakin dengan langkah tepat dan betul, Batu Ferringhi berupaya berpotensi untuk kembali menjadi destinasi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa.
TIDAK SEMERIAH DAHULU
Batu Ferringhi sememangnya terkenal sebagai destinasi pelancongan utama di Pulau Pinang, tetapi ramai tidak sedar kawasan ini asalnya hanyalah sebuah perkampungan nelayan kecil.
Seiring pembangunan, kawasan ini diubah suai untuk menarik pelancong, dan kewujudan hotel-hotel mewah seperti Shangri-La Rasa Sayang Resort & Spa dan Parkroyal Penang bukan sahaja menawarkan penginapan bertaraf antarabangsa, malah membuka ruang kepada perniagaan kecil dan sederhana untuk berkembang.
Antara perniagaan yang berkembang pesat termasuk kedai cenderamata, spa, pusat urut kaki, motel serta restoran yang menawarkan pelbagai jenis masakan, daripada hidangan barat, kampung, hingga tomyam.
Industri pelancongan ini seolah-olah menjadi tulang belakang ekonomi tempatan, memberi peluang pekerjaan kepada ramai penduduk serta meningkatkan peredaran wang di kawasan itu.
Bagaimanapun, hasil tinjauan rambang dijalankan ke atas peniaga dan pengunjung mendapati jualan produk dan perkhidmatan di Batu Ferringhi kini mengalami kemerosotan antara 20 hingga 30 peratus.
Apa yang lebih ketara ialah bilangan peniaga tempatan semakin berkurangan, manakala kehadiran pemilik dan pekerja warga asing meningkat, terutamanya dalam perniagaan restoran tomyam, pusat urut, dan agensi pelancongan.
Edmund Lim, 45, seorang peniaga cenderamata tempatan, berkata pada masa ini, dia hanya mengharapkan pendapatan tambahan ketika hujung minggu atau cuti persekolahan.
“Hari-hari biasa masih ada pengunjung, tetapi kebanyakan mereka hanya melihat-lihat dan terus pergi. Jadi saya perlu fikir cara lain untuk melariskan jualan saya,” katanya.
Edmund telah berniaga di Batu Ferringhi bersama rakannya sejak 10 tahun lalu, dan berharap kawasan itu kembali meriah seperti dahulu.
Seperti ramai peniaga lain, Edmund percaya Batu Ferringhi tidak seharusnya menjadi destinasi eksklusif untuk golongan elit semata-mata.
“Sesetengah orang mungkin melihat kawasan ini untuk mereka yang mampu sahaja kerana kos hotel agak tinggi. Tetapi hakikatnya, Batu Ferringhi adalah untuk semua orang, tanpa mengira siapa,” katanya.










