PETALING JAYA: Projek Pengawalan Hakisan Pantai Kuala Nerus di Terengganu berdepan risiko kegagalan fungsi sebelum sempat disiapkan sepenuhnya apabila dikesan mengalami kelewatan signifikan sehingga 144 hari.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, berdasarkan 10 projek yang telah siap, Program Pemuliharaan Pesisir Pantai di seluruh negara telah mencapai objektif yang ditetapkan.
Beliau berkata, program tersebut bertujuan melindungi kawasan pantai yang terdedah kepada hakisan, mengurangkan risiko banjir pantai serta menyediakan laluan pelayaran.
“Namun pengauditan mendapati kelemahan dalam pelaksanaan Projek Pengawalan Hakisan Pantai Kuala Nerus, Terengganu dengan kelewatan sebanyak 15.7 peratus atau 144 hari disebabkan kekurangan jentera dan ketiadaan aktiviti pembinaan di pemecah ombak No. 1, 2, 3 dan 9.
“Serta kelewatan kontraktor mendapatkan kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi skop penambahan pasir pantai,” katanya dalam kenyataan media Laporan Ketua Audit Negara 2/2026.
Bagi mengatasi isu tersebut, Wan Suraya berkata, koordinasi antara pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu diperkukuh.
“Ia agar pemecah ombak No. 7 dan 8 dapat disiapkan dengan segera sebelum musim Monsun Timur Laut bagi mengelakkan runtuhan jalan yang telah dibaiki,” katanya.











