Kelulusan EIA punca projek hakisan pantai Kuala Nerus lewat - Utusan Malaysia

Kelulusan EIA punca projek hakisan pantai Kuala Nerus lewat

PEKERJA kontraktor giat melakukan kerja-kerja menyiapkan pembinaan pulau (breakwater) bagi persediaan menghadapi musim tengkujuh di Kampung Tanjung Batu Rakit, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kelewatan mendapatkan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi kerja penambahan pasir pantai menjadi antara punca Projek Pengawalan Haki­san Pantai Kuala Nerus di sini lewat dilaksanakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, isu kelulusan EIA itu telah diselesaikan sepenuhnya dan pihak kontraktor meningkatkan kapasiti kerja bagi mempercepat pelaksanaan projek.

Katanya, sehingga 17 September lalu, kemajuan fizikal projek mencapai 60.9 peratus berban­ding 60.7 peratus kemajuan yang dijadualkan.

“Susulan perkara tersebut, tindakan penambahbaikan diambil bagi memastikan pelaksanaan kerja di tapak diperkemas dan kapasiti pelaksanaan dapat dipertingkat khususnya bagi kerja-kerja perlindungan pesisir pantai.

“Pihak kontraktor kini telah meningkatkan kapasiti kerja penambahan pasir pantai bagi mempercepat pelaksanaan perlindungan pesisir pantai terlibat,” katanya.

Sebelum ini, laporan Ketua Audit Negara 2/2026 menyatakan, projek berkenaan berdepan risiko kegagalan fungsi sebelum sempat disiapkan sepenuhnya apabila mengalami kelewatan signifikan sehingga 144 hari.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, berdasarkan 10 projek yang telah siap, Program Pemuliharaan Pesisir Pantai di seluruh negara telah mencapai objektif seperti yang ditetapkan.

Projek berkenaan bertujuan melindungi kawasan pantai yang terdedah kepada hakisan, mengurangkan risiko banjir pantai serta menyediakan laluan pelayaran.

Walau bagaimanapun, peng­auditan mendapati kelemahan dalam pelaksanaan Projek Pe­ngawalan Hakisan Pantai Kuala Nerus dengan kelewatan seba­nyak 15.7 peratus atau 144 hari disebabkan kekurangan jentera dan ketiadaan aktiviti pembinaan di pemecah ombak No. 1, 2, 3 dan 9.

Hanafiah berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu turut memper­kukuh penyelarasan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi berkaitan selaras dengan syor audit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini