GEORGE TOWN : Kerajaan negeri masih meneliti pelbagai aspek termasuk laporan serta pandangan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan projek pemulihan tapak pelupusan sampah di Jelutong dan projek tambakan laut di Persiaran Karpal Singh di sini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, satu pertemuan juga telah dibuat bersama JAS semalam bagi mendapatkan penjelasan berkaitan pertimbangan permohonan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) untuk kedua-dua projek dan sehingga kini, belum ada sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Kita (kerajaan negeri) telah bertemu dengan JAS untuk memahami tentang pertimbangan permohonan EIA bagi projek tapak pengurusan. Maksudnya, proses ini masih berjalan,” katanya selepas menghadiri Penang Career Discovery Day X Penang HR Foward Forum 2026 di sini, hari ini.
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Protect Karpal, baru-baru ini mengeluarkan kenyataan mempersoalkan sama ada pemaju yang terlibat dalam Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) Tapak Pelupusan Sampah Jelutong menerima kelonggaran luar biasa.
Kumpulan itu turut membangkitkan kebimbangan mengenai lanjutan masa (EOT) yang berulang, semakan terhadap struktur pembayaran serta skala cadangan projek tambakan laut di kawasan pesisir pantai selain mempersoalkan sama ada penstrukturan semula kewangan serta lanjutan masa yang berterusan wajar diberikan ketika ini.
Mengulas dakwaan dan kritikan yang dibangkitkan oleh beberapa NGO berhubung projek tersebut pula, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan memastikan bahawa setiap keputusan dibuat berdasarkan fakta dan maklumat yang tepat.
Katanya, pelbagai tuduhan telah dilemparkan terhadap kerajaan negeri ketika ini, namun, proses membuat keputusan tidak boleh dipengaruhi oleh sebarang persepsi atau dakwaan yang belum disahkan.
“Saya selalu tegaskan, proses untuk membuat keputusan perlu didahului oleh pertimbangan maklumat-maklumat yang betul dan ini satu proses yang sedang kita lakukan sekarang,” katanya.
Ditanya sama ada kerajaan negeri akan memberi lanjutan tempoh kepada pemaju projek berkenaan, Kon Yeow bagaimanapun enggan membuat sebarang spekulasi dan menegaskan bahawa perkara itu masih dalam penelitian.
“Kita akan buat keputusan dan selepas keputusan dibuat, kita akan umumkan pula apabila keputusan itu dimuktamadkan,” katanya.-UTUSAN










