WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memilih untuk menjadikan pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November sebagai penilaian terhadap rekod pentadbirannya, satu pertaruhan berisiko memandangkan tinjauan pendapat menunjukkan kadar sokongannya berada pada paras 30-an peratus.
Ia merupakan kadar sokongan paling rendah sepanjang kerjaya politik Trump daripada parti Republikan dengan hanya 17 peratus rakyat menyokong pengendaliannya terhadap kos sara hidup.
Tinjauan Wall Street Journal mendapati tiada Presiden yang mencatatkan keputusan lebih buruk dalam tinjauan mereka sejak 1990 ketika menghampiri pilihan raya pertengahan penggal.
Trump kembali berkuasa dengan janji untuk mengawal inflasi. Namun, kadar inflasi kini mencecah 3.4 peratus, lebih tinggi berbanding ketika beliau mula memegang jawatan.
Konflik di Asia Barat yang kini memasuki bulan kelapan menyebabkan harga petrol meningkat melebihi AS$4 (RM16.23) segelen atau 3.78 liter. Hanya kira-kira satu pertiga rakyat AS menyokong serangan terhadap Iran yang dimulakannya pada 28 Februari susulan rundingan nuklear dengan Teheran menemui kegagalan.
Menurut tinjauan Pusat Penyelidikan Pew, kadar kelulusan Trump jatuh kepada 30 peratus pada awal Oktober.
Kali terakhir kadar kelulusan seorang Presiden AS berada pada paras serendah itu ketika menghampiri pilihan raya pertengahan penggal ialah pada 1946, ketika Harry Truman memegang jawatan tersebut.
Lebih 173 juta pengundi akan memilih kesemua 435 anggota Dewan Perwakilan dan 35 daripada 100 ahli Dewan Senat, selain memilih gabenor di 36 negeri.
Dalam pilihan raya 2024, Republikan memenangi Dewan Perwakilan dengan kelebihan 220 berbanding 215 kerusi, manakala di Senat, parti itu memperoleh majoriti dengan menang 53 berbanding 47 kerusi.
Pilihan raya pertengahan penggal itu akan menentukan parti yang menguasai badan perundangan yang bertanggungjawab meluluskan undang-undang, menetapkan belanjawan dan mengawasi pentadbiran Rumah Putih.
Ahli-ahli Republikan di Dewan Perwakilan secara tertutup bukan sahaja membincangkan kemungkinan kehilangan majoriti, malah turut menjangkakan jumlah kerusi yang mungkin terlepas daripada genggaman mereka.
Sementara itu, Republikan di Senat turut mempunyai alasan baharu untuk bimbang mengenai persaingan di Ohio, Kansas dan beberapa negeri lain yang menjadi kubu kuat parti tersebut.
“Keadaan mungkin menjadi sangat buruk pada malam keputusan pilihan raya diumumkan,” kata seorang pemimpin kanan Republikan yang terbabit dalam perbincangan tertutup itu.
“Apabila satu demi satu domino mula tumbang, keadaan akan menjadi sukar untuk dihentikan,” tambahnya.
Demokrat mahu merampas semula penguasaan Senat dan parti itu perlu memenangi empat kerusi tambahan.
Seorang anggota Kongres dari Demokrat, Alexandria Ocasio-Cortez berkata: “Kita perlu memenangi pilihan raya Senat di sini. Kita mempunyai seorang pekerja pembalakan yang kita harap dapat dihantar ke Senat untuk memperjuangkan nasib golongan pekerja, gaji lebih tinggi dan penjagaan kesihatan.”
Dalam pilihan raya kali ini, Republikan mempunyai kelebihan dana kempen yang besar berbanding Demokrat.











