GEORGE TOWN : Tiada keputusan muktamad dicapai berhubung cadangan projek penambakan tanah berhampiran tapak pelupusan sampah Jelutong sehingga satu pembentangan terperinci dibuat oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) kepada pihak kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye berkata, bagi tujuan itu, pihak pemaju PLB Engineering Berhad dijangka mengemukakan kertas kerja untuk memohon lanjutan masa (EOT) kepada PDC sebelum ia dibawa untuk pertimbangan lanjut dalam mesyuarat Exco negeri pada 20 Mei ini.
“Setakat ini, kita belum membuat keputusan sama ada mahu meneruskan atau membatalkan projek ini. Kita perlu meneliti keseluruhan projek dan membuat keputusan berdasarkan pelbagai faktor yang akan dibentangkan nanti (pada 20 Mei),” katanya kepada pemberita di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Mooi Lye berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penolakan kali kelima oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada Mac lalu terhadap permohonan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek berkenaan.
Difahamkan, PLB Engineering telah beberapa kali mengemukakan semula permohonan EIA selepas penolakan berulang oleh JAS yang antara lain meminta pelarasan dibuat terhadap butiran teknikal projek.
Projek pembangunan semula tapak pelupusan sampah Jelutong yang turut melibatkan kerja-kerja penambakan kira-kira 30 hektar tanah di pesisir persiaran Karpal Singh itu sebelum ini mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak khususnya pertubuhan alam sekitar.
Ia berikutan lokasi projek yang dianggarkan bernilai RM1 bilion itu terletak berhampiran kawasan perlindungan marin iaitu Middle Bank yang juga merupakan habitat penting biodiversiti termasuk satu-satunya padang rumput laut di Selat Melaka.-UTUSAN










