KP JAS, Timbalan dituduh hari ini

KP JAS, Timbalan dituduh hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dijangka didakwa berkaitan kes pengurusan sisa elektronik (e-waste) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, Jabatan Peguam Negara membenarkan permohonan SPRM untuk meneruskan pertuduhan berkenaan.

“Persetujuan daripada pihak pendakwa raya telah kita perolehi. Saya harap tiada pemba­talan terhadap perkara ini.

“Mereka akan dituduh di mahkamah esok (hari ini) sekiranya tiada sebarang perubahan,” katanya ditemui dalam Sesi Libat Urus Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (Matf): Way Forward di sini, semalam.

Mengulas kedudukan kepemimpinan JAS, Azam menyerahkan perkara itu kepada Ketua Setiausaha Negara.

Menurutnya, sudah pasti pelantikan Ketua Pengarah baharu dijangka dibuat dalam masa terdekat bagi memastikan kelangsungan pentadbiran jabatan itu tidak terjejas.

Sebelum ini, SPRM telah mengetuai Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Import Sisa Plastik dan e-waste.

Langkah utama yang diputuskan oleh pasukan petugas khas ialah pengimportan e-waste diharamkan sepenuhnya dan diklasifikasikan di bawah kategori Larangan Mutlak dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 mulai 4 Februari lalu.

Dalam pada itu, SPRM mencadangkan pertuduhan terhadap beberapa individu dari sebuah firma guaman antarabangsa yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) setelah siasatan mendapati terdapat eleman kesalahan.

Kata Azam, siasatan terha­dap firma guaman tersebut me­liputi dakwaan penyediaan dokumen yang disyaki me­ngandungi maklumat palsu dan arahan pembayaran mengelirukan sehingga penyaluran dana berkaitan 1MDB kepada pihak tidak sepatutnya.

“Penelitian juga dilakukan membabitkan bayaran yang di­buat kepada firma berkenaan yang dipercayai melibatkan dana 1MDB.

“Siasatan ini dijalankan di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan termasuk Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Bagi memperkukuh siasatan, SPRM dalam proses mendapatkan maklumat dan dokumen penting melalui saluran perundangan rasmi termasuk menerusi Jabatan Peguam Negara (AGC) serta mekanisme Bantuan Perundangan Bersama dengan pihak berkuasa di United Kingdom,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN