Timbalan Ketua Pengarah JAS, hadapi pertuduhan rasuah ketujuh

Timbalan Ketua Pengarah JAS, hadapi pertuduhan rasuah ketujuh

JAS rasuah
NORHAZNI Mat Sari bersama peguamnya, Haresh Mahadevan (kiri) meninggalkan kamar Mahkamah Sesyen selepas mendengar pertuduhan rasuah terhadapnya di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan ketujuh menerima rasuah daripada syarikat pengurusan sisa berjadual, pada empat tahun lalu.

Tertuduh, Dr. Norhazni Mat Sari, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) yang akan bersara wajib pada tahun depan itu didakwa menerima rasuah sebanyak RM9,110 daripada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan tugasnya.

Wang tersebut dipindahkan ke dalam akaun bank milik sebuah syarikat pembinaan sebagai bayaran bagi membaik pulih rumahnya di Putra Heights, Subang Jaya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan dekat sebuah cawangan bank di Taman Sentosa, Klang pada 25 Mei 2022.

Justeru, Norhazni, 59, dituduh di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin kemudian memohon kepada mahkamah supaya jaminan yang sama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini diguna pakai bagi kes tersebut.

“Pada masa sama, saya juga memohon kes ini dapat dipindah dan dibicarakan sekali dengan pertuduhan dihadapinya di mahkamah Kuala Lumpur,” katanya di sini, hari ini.

Peguam Haresh Mahadevan yang mewakili tertuduh memaklumkan beliau tiada bantahan terhadap permohonan tersebut dan memaklumkan tarikh sebutan seterusnya di Mahkamah Sesyen itu pada 19 Mei 2026.

Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin kemudian membenarkan wang jaminan sama sebanyak RM25,000 diguna pakai dan kes dipindah untuk dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada tarikh tersebut.

Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan Norhazni mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan menerima suapan sebanyak RM21,000 di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank cawangan Bukit Bintang, di sini, pada 18 April 2022, 4 dan 20 Februari, 8 April dan 22 Ogos 2023, serta 19 Julai 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN