GEORGE TOWN: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Persatuan Penduduk Bandar Sri Pinang di sini menggesa kerajaan negeri menolak cadangan penambakan kawasan laut seluas kira-kira 28 hektar di Jelutong yang didakwa melebihi skop yang dibenarkan di bawah Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA).
NGO terbabit yang dikenali sebagai Jawatankuasa Tindakan Protect Karpal Singh Drive atau ProtectKarpal berkata, mengikut JDA, tanah hanya dibenarkan untuk ditambak jika ia benar-benar diperlukan dan diluluskan bagi memastikan perimeter tapak pelupusan berkenaan selamat bagi tujuan kerja-kerja pemulihan.
“Kira-kira enam tahun yang lalu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pernah menyatakan bahawa hanya empat hektar tanah akan ditambak bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan benteng dan tembok perimeter itu dilaksanakan.
“Bagaimanapun, cadangan kawasan tambakan berkenaan kini meningkat kepada 28 hektar seperti dinyatakan dalam Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang dipamerkan pada Februari 2025,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
ProtectKarpal berkata, berdasarkan Klausa 1.1.1 JDA, ‘Kawasan Tambahan’ adalah merujuk kepada tanah yang diperlukan dan diluluskan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan perimeter tapak selamat, khusus untuk kerja-kerja pemulihan.
“Tetapi, penelitian kami terhadap EIA menunjukkan bahawa sebahagian besar daripada kawasan seluas 28 hektar yang dicadangkan itu akan digunakan untuk memproses dan mengitar semula sisa yang digali.
“Justeru, kami menggesa pihak berkuasa hanya meluluskan kawasan yang benar-benar dapat dibuktikan diperlukan bagi tujuan tersebut,” katanya.
Sementara itu, ProtectKarpal turut memberi amaran bahawa penggunaan bahan yang diperoleh daripada tapak pelupusan Jelutong bagi tujuan penambakan laut berpotensi mewujudkan satu lagi tapak pelupusan di sepanjang garis pantai yang ditambak.
Sehubungan itu, mereka mahu satu ujian bebas dijalankan bagi menentukan kesesuaian serta tahap keselamatan alam sekitar bahan berkenaan untuk digunakan dalam penambakan laut.
ProtectKarpal turut merujuk kepada Klausa 18.1 JDA yang membolehkan kerajaan negeri menamatkan perjanjian dengan memberikan notis sekurang-kurangnya 30 hari sekiranya tindakan itu dianggap perlu demi kepentingan negeri, keselamatan, dasar kerajaan atau kepentingan awam.
“Kami mahu kerajaan negeri menjelaskan sebarang kemungkinan pampasan atau implikasi undang-undang sekiranya memilih untuk tidak menamatkan perjanjian berkenaan,” katanya.
Cadangan projek pemulihan dan penambakan tapak pelupusan sampah bernilai RM1 bilion di luar Jalan Karpal Singh itu sebelum ini berdepan beberapa halangan besar selepas Jabatan Alam Sekitar (JAS) beberapa kali menolak laporan EIA projek berkenaan kerana dikatakan tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.-UTUSAN










