GEORGE TOWN: Kerja baik pulih hakisan pantai bagi tempoh jangka pendek di kawasan Batu Ferringhi akan mula dilaksanakan secara rasmi pada 20 April ini sebagai langkah segera untuk menangani kerosakan yang berlaku di kawasan pesisir pantai tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, projek itu melibatkan kawasan belakang hotel terkenal termasuk Lone Pine dan Golden Sands yang terjejas teruk akibat hakisan.
Menurut beliau, surat setuju terima telah pun dikeluarkan kepada kontraktor yang dilantik, manakala lawatan tapak juga telah dilakukan bagi memastikan kerja dapat dimulakan tanpa sebarang kelewatan.
“Sebagai langkah awal, kerja-kerja akan dimulakan dengan memotong serta mengeluarkan pokok-pokok tumbang yang menghalang kawasan pantai sebelum kerja pembaikan dilaksanakan,” katanya selepas merasmikan jambatan kanopi hidupan liar, The Obscura di Batu Ferringhi, hari ini.
Sebelum ini, kawasan pantai peranginan Batu Ferringhi diancam hakisan yang teruk yang didakwa berpunca daripada ombak kuat sehingga menimbulkan keresahan orang ramai memandangkan lokasi berkenaan merupakan antara kawasan tumpuan utama pelancong di negeri ini.
Sementara itu, Zairil berkata, kerja pembersihan penting untuk dilakukan kerana terdapat pokok bersaiz besar yang sukar dialihkan tanpa penggunaan jentera khas di mana sebelum ini Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah cuba mengalihkan pokok tersebut, namun, berdepan kesukaran kerana saiznya yang terlalu besar dan akarnya yang dalam.
Beliau berkata, kos keseluruhan projek jangka pendek tersebut dianggarkan sekitar RM500,000 dan projek berkenaan dijangka mengambil masa kira-kira 16 minggu untuk disiapkan sepenuhnya. – UTUSAN










