PETALING JAYA: Cuaca panas dengan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius direkodkan di Pokok Sena dan Kulim, Kedah, serta Daerah Tengah, Pulau Pinang.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan berkata, kesemua kawasan terbabit dikesan berada pada tahap 1 (berjaga-jaga) susulan cuaca panas yang berterusan.
Katanya, tahap berjaga-jaga ditetapkan apabila suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius direkodkan sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar, mengelakkan pendedahan langsung kepada cahaya matahari, serta memastikan pengambilan air yang mencukupi bagi mengelakkan masalah kesihatan berkaitan haba.
“Orang ramai juga digalakkan untuk memantau maklumat terkini status cuaca panas harian melalui saluran rasmi MetMalaysia dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN









