DALAM beberapa minggu kebelakangan ini, Malaysia mencatatkan peningkatan suhu harian yang ketara apabila beberapa kawasan merekodkan suhu melebihi 35 darjah Celsius.
Di Kedah dan Perlis, suhu bahkan mencapai tahap amaran dua antara 37 hingga 40 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut. Keadaan ini menunjukkan risiko cuaca panas melampau semakin membimbangkan.
Bagi kebanyakan masyarakat, keadaan ini hanya menimbulkan ketidakselesaan, namun bagi pekerja tertentu, ia menjadi realiti harian.
Pekerja binaan, penghantar makanan dan pengutip sisa pepejal bekerja di bawah terik matahari untuk tempoh panjang. Situasi ini bukan sekadar mengganggu keselesaan, malah mengancam keselamatan dan kesihatan mereka.
Cuaca panas melampau merupakan ancaman kepada pekerjaan yang serius dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Tekanan haba berlaku apabila tubuh gagal mengawal suhu dalaman akibat pendedahan berterusan. Keadaan ini menyebabkan keletihan haba, dehidrasi, kekejangan otot dan boleh membawa kepada strok haba yang mengancam nyawa.
Simptom awal seperti pening, loya dan keletihan sering dipandang ringan sedangkan ia tanda amaran serius. Pekerja yang tidak mengurus keadaan ini berdepan risiko kemalangan akibat penurunan fokus dan keupayaan fizikal.
Golongan berisiko termasuk pekerja luar, pekerja ladang, penyelenggaraan jalan raya serta pekerja industri panas.
Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, majikan bertanggungjawab memastikan keselamatan pekerja termasuk perlindungan daripada risiko haba. Kegagalan mengurus risiko ini boleh dianggap kecuaian kerana ia boleh dijangka dalam cuaca semasa.
Ia turut menjejaskan produktiviti organisasi apabila pekerja menjadi lemah, melakukan kesilapan dan meningkatkan risiko kemalangan. Oleh itu, majikan perlu mengambil langkah pencegahan yang praktikal dan kos efektif tanpa menunggu pelaburan besar.
Antara langkah asas ialah menyediakan air minuman mencukupi, kawasan rehat berteduh, serta pelarasan jadual kerja seperti mengelakkan aktiviti berat pada tengah hari. Sistem kerja dan rehat berkala juga membantu mengurangkan tekanan haba.
Contohnya, sekolah di Kedah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) apabila suhu mencapai tahap amaran, manakala sesetengah sekolah mengekalkan sesi bersemuka dengan pengudaraan dan bekalan air mencukupi.
Kedua-dua pendekatan ini menunjukkan pengurusan risiko yang berkesan.
Majikan juga perlu meningkatkan kesedaran pekerja melalui taklimat berkala tentang tanda awal tekanan haba dan tindakan segera yang perlu diambil.
Cuaca panas melampau kini menjadi realiti baharu yang memerlukan tindakan serius semua pihak. Majikan bukan sahaja melindungi pekerja, malah memastikan kelancaran operasi dan keselamatan tempat kerja. – UTUSAN
TS. DR. SYAZWAN SYAH ZULKIFLY
Pensyarah Kanan dan Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan,
Universiti Utara Malaysia (UUM)










