PETALING JAYA: Tiada kawasan di negara ini direkodkan berada pada tahap dua atau gelombang haba setakat pukul 6 pagi tadi.
Menurut Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), hanya sembilan kawasan di Kedah dan seluruh Perlis berada pada tahap satu atau berjaga-jaga apabila suhu maksimum harian direkodkan antara 35 hingga 37 darjah selsius.
Kawasan yang terlibat di Kedah ialah Padang Terap, Kubang Pasu, Baling, Pendang, Pokok Sena, Sik, Pulau Langkawi, Kota Setar dan Kuala Muda.
Sebelum ini, beberapa kawasan di Kedah direkodkan berada pada cuaca panas tahap dua sehingga menjejaskan aktiviti luar termasuk sesi persekolahan.
Bagaimanapun, keadaan itu menunjukkan tanda-tanda pemulihan selepas kawasan terlibat mula menerima hujan bermula semalam.
Perkembangan tersebut dilihat selari dengan keadaan negara yang kini memasuki fasa peralihan monsun yang diramal bermula semalam, 29 Mac.
Menurut MetMalaysia, peralihan monsun merupakan tempoh perubahan corak cuaca yang lazimnya membawa kejadian ribut petir, hujan lebat serta angin kencang di kebanyakan kawasan, khususnya pada lewat petang dan awal malam. – UTUSAN










