SAUDARA PENGARANG,
CUACA panas melampau sedang dihadapi oleh penduduk sekitar Asia sejak awal tahun 2024 ini amat membimbangkan. Isu ini dilihat semakin menjadi topik utama yang hangat diperbincangkan apabila melibatkan laporan kehilangan nyawa disebabkan oleh strok haba.
Laporan dari sumber Straits Times Graphic – AFP, Air Temperature from the Global Deterministic Prediction System, Environment and Climate Change Canada menyatakan benua Asia menunjukkan peningkatan suhu bermula 33 sehingga 45 darjah celcius merupakan suhu yang tertinggi jika dibandingkan dengan suhu sebelum ini.
Namun begitu, dari aspek alam sekitar, kes kematian ikan dan juga kebakaran hutan menjadi faktor yang memburukkan lagi keadaan fenomena ini. Laporan sebelum ini menyatakan kes kematian ternakan ikan sangkar di Pahang seperti yang dilaporkan sebelum ini mempunyai saling kaitan dengan fenomena ini bakal memberi impak buruk kepada produktiviti penghasilan sumber perikanan. Kebakaran hutan yang berlaku juga memberi kesan kepada habitat asal haiwan yang telah lama mendiami kawasan tersebut.
Ini menyebabkan gangguan habitat yang berlaku memberi kesan kepada penghijrahan populasi haiwan ke kawasan lain dan secara tidak langsung akan mengganggu gugat keselamatan penduduk setempat yang berdekatan dengan kawasan hutan.
Kes kebakaran hutan juga memberikan impak kepada mutu kualiti udara yang mana boleh memberi kesan langsung kepada tahap kesihatan masyarakat. Punca kebakaran hutan masih belum dikenalpasti dan langkah yang drastik perlu diambil bagi mengatasi masalah ini dari berlarutan.
Isu peningkatan suhu memang diluar kawalan kita, tetapi perlu ada inisiatif bagaimana untuk mengatasinya melalui kaedah dan inovasi yang mampu menyelesaikan isu global ini. Antara langkah-langkah diambil untuk mengatasi isu kebakaran hutan semasa musim panas ini termasuklah menyalurkan maklumat kepada orang ramai tentang bahaya kebakaran hutan dan tidak membakar sampah sembarangan atau membuang puntung rokok di kawasan yang berpotensi untuk mencetuskan kebakaran seperti kawasan rumput dan hutan yang mempunyai daun kering.
Pemantauan secara berkala perlu dipergiat bagi memantau kawasan berpotensi terbakar dengan menggunakan teknologi seperti satelit dan dron untuk mengesan titik panas atau kebakaran yang mungkin berlaku.
Tindakan pemadaman yang efektif perlu disediakan untuk memastikan tatakelola pemadaman dapat dilakukan dengan segera dengan menghantar pihak berkuasa ke lokasi dan menggunakan peralatan pemadaman yang sesuai. Kerjasama antara pihak pemegang taruh berkaitan seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihak Jawatankuasa Pemantauan Keselamatan Kampung (JPKK) dan masyarakat setempat penting demi untuk sama-sama menggembleng tenaga dalam mengatasi isu ini.
Langkah untuk melakukan pengasingan dan pemindahan penduduk perlu dibuat jika perlu dan memberikan perlindungan kepada spesies haiwan liar yang terancam. Pihak penguatkuasa tempatan perlu memberikan pengetahuan dan maklumat terkini kepada masyarakat tentang cara-cara untuk bertindak dengan selamat semasa musim panas dan pentingnya menjaga kelestarian alam sekitar.
Ini hanya beberapa langkah yang boleh diambil, tetapi kerjasama dan persediaan yang baik dari semua pihak amat penting dalam menangani masalah ini dari berlarutan. – UTUSAN
DR. MOHD. IHWAN ZAKARIAH
Timbalan Ketua Pegawai Penyelidik
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)










