KUALA LUMPUR: Pelaksanaan tarif Amerika Syarikat (AS) hanya dikenakan terhadap syarikat-syarikat AS yang berdagang dan melabur di Malaysia dan bukannya ke atas syarikat tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkan maklumat Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sehingga semalam, syarikat tempatan masih belum terjejas secara langsung kerana tarif berkenaan dikenakan terhadap syarikat AS yang berdagang atau melabur di Malaysia.
“Apa kerugian kita setakat ini? Daripada tinjauan kita, hampir tidak ada kerana syarikat AS itu juga beroperasi di sini, mungkin ada kesan sedikit. Tetapi tarif itu kepada syarikat di AS, syarikat yang berdagang atau melabur di Malaysia, jadi tarif itu dikenakan kepada mereka.
“Sebab itu dia jadi dialog besar juga di AS. Setakat ini, sampai semalam maklumat daripada MITI, belum terkesan syarikat-syarikat tempatan yang terkena.
“Sekali lagi saya tekankan, tarif itu adalah pada syarikat AS yang berdagang di negara kita. Strategi Presiden Trump adalah memaksa syarikat-syarikat itu melabur di AS dan tidak di negara luar. Jadi itu yang setakat yang berlaku hari ini,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) mengenai kebimbangan terhadap kemungkinan tindakan terburu-buru kerajaan yang boleh menjejaskan kadar tarif efektif serta industri semikonduktor negara sekiranya perjanjian ditarik balik.
Perdana Menteri berkata, sebarang keputusan yang memberi manfaat kepada ekonomi dan rakyat perlu diteruskan, tetapi tindakan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa memandangkan perkembangan semasa di AS masih menyaksikan perbahasan berkaitan peruntukan undang-undang susulan keputusan Mahkamah Agung negara itu.
“Perkembangan terkini perlu diteliti secara menyeluruh kerana isu ini melibatkan kepentingan ekonomi yang besar termasuk puluhan ribu rakyat serta dana ratusan bilion ringgit.
“Keputusan berkaitan maruah dan kedaulatan negara belum sampai ke tahap tersebut dan kerajaan khususnya MITI masih mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.
Tambah Anwar, keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa bukan pilihan terbaik kerana melibatkan nilai ekonomi yang besar.
“Eksport Malaysia ke AS mencecah RM233.1 bilion, sementara perdagangan dua hala Malaysia-AS pula berjumlah RM367.5 bilion,” katanya. – UTUSAN










