KUALA LUMPUR: Malaysia akan meneruskan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) hingga suku pertama 2027 bagi memastikan tarif keseluruhan ke atas barangan Malaysia tidak melebihi 19 peratus.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata Malaysia akan terus berunding dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) bagi mengemukakan pendirian negara.
Katanya, ia bertujuan menghindarkan sebarang langkah tarif tambahan ke atas barangan Malaysia daripada melebihi paras 19 peratus yang dipersetujui di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART).
“AS menyatakan julat tarif antara 18 peratus hingga 25 peratus bagi Malaysia… inilah julatnya. Namun, kita masih mempunyai masa sehingga suku pertama untuk berunding, memberi penjelasan, serta mengemukakan justifikasi mengapa kita tidak seharusnya diletakkan dalam julat ini.
“Secara keseluruhan, perlu juga diambil kira bahawa kadar tersebut tidak boleh melebihi 19 peratus,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kilang pemasangan tempatan BYD di Malaysia, di sini, hari ini.
Sebelum ini, AS dilapor mencadangkan tarif tambahan sehingga 18 peratus ke atas barangan Malaysia, selepas mendapati dasar perindustrian dan amalan pembuatan Malaysia menyumbang kepada lebihan kapasiti struktur serta pengeluaran yang didakwa membebankan atau menyekat perdagangan negara itu.
Malaysia merupakan antara 14 ekonomi yang berdepan dengan cadangan tarif di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974, dengan kadar yang ditetapkan antara 15 hingga 35 peratus.
Ekonomi lain termasuk China, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Jepun, dan Kesatuan Eropah.
Johari berkata, bagaimanapun Malaysia menyatakan pendiriannya dengan jelas kepada timbalan wakil USTR dan menegaskan manfaat sebagai antara pihak terawal yang menandatangani perjanjian perdagangan tersebut wajar dikekalkan bagi negara ini.
Jelasnya, Malaysia adalah antara yang pertama menandatangani ART dan AS menjanjikan kadar tarif sebanyak 19 peratus, justeru, negara seharusnya dapat menikmati manfaat tersebut.
“Walau apapun langkah tambahan yang ingin kenakan, termasuk tarif 10 peratus yang berkaitan dengan buruh paksa, jumlah keseluruhannya tidak boleh melebihi 19 peratus,” tegasnya.
Beliau berkata AS sedang meneliti empat bidang di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974, iaitu lebihan kapasiti, buruh paksa, isu alam sekitar, dan subsidi kerajaan.
AS memuktamadkan tarif sebanyak 10 peratus ke atas buruh paksa, manakala langkah-langkah yang berkaitan dengan lebihan kapasiti masih dalam pertimbangan, katanya. – UTUSAN











