PETALING JAYA: Tidak mahu keluarga terkena tempias kontroversi dunia hiburan, pelakon, Haidar Hasanudin lebih memilih untuk tidak berkongsi kisah peribadinya kepada umum.
Haidar, 37,berkata, keputusan itu dibuat sejak dia memilih untuk memasuki dunia di hadapan kamera.
Menurutnya, prinsip tersebut bukan sahaja untuk menjaga privasi diri, malah menghormati hati dan perasaan pihak lain termasuk ahli keluarganya.
“Untuk bercerita mengenai hal peribadi, saya tetap dengan prinsip saya untuk tidak bercerita atau menonjolkannya, bukan untuk saya sahaja tetapi untuk menghormati banyak hati dan juga pihak sebenarnya.
“Walaupun mengenai keluarga sendiri, saya tidak mahu mereka terkena tempias, kalau berlaku apa-apa,” katanya kepada media pada sidang media drama terbitan Viu Original, Wali Dalam Tangisan di sini, semalam.
Menyedari kontroversi merupakan antara perkara yang sukar dielakkan dalam industri hiburan, pelakon Cinta Dalam Sekam itu memaklumkan dia tidak mahu insan tersayang turut terpalit sekiranya berdepan sebarang isu pada masa hadapan.
“Dalam industri ini, kita tidak boleh lari daripada kontroversi. Hari ini saya mungkin masih okey, tetapi saya tidak tahu pada masa akan datang. Ada perkara yang kita tidak boleh elak.
“Saya sudah berbincang dengan keluarga, biarlah saya seorang sahaja yang ke depan. Kalau apa-apa berlaku kepada saya, biarlah saya seorang sahaja yang tanggung,” ujarnya.
Dalam pada itu, Haidar turut memohon semua pihak menghormati keputusannya untuk tidak mendedahkan kehidupan peribadi kerana menyifatkan perkara itu sebagai haknya meskipun bergelar selebriti.
“Biarlah privasi saya tetap privasi saya. Itu mungkin hak saya juga sebagai seorang pelakon atau individu yang berada di hadapan kamera.
“Saya minta semua pihak menghormati keputusan ini sebab saya juga perlu menjaga keluarga.
“Saya tidak mahu mereka yang tidak berada dalam industri dan tidak memahami soal seni ini turut terpalit,” katanya.
Untuk perkembangan lain, Haidar akan bergandingan dengan Ezzanie Jasny dan Jazmy Juma menerusi drama Wali Dalam Tangisan yang sudah mula ditayangkan sejak 19 November lalu menerusi platform Viu.











