JAKARTA: Sekumpulan 53 jemaah umrah Indonesia dari kawasan pentadbiran Boyolali, wilayah Jawa Tengah, terkandas di Bangkok selepas mendapati mereka tidak mempunyai tiket penerbangan seterusnya ke Arab Saudi, lapor laman berita Jakarta Globe semalam.
Mereka terkandas walaupun membayar yuran ziarah penuh sebanyak 25 juta rupiah (RM5,597) setiap seorang.
Ketua Pejabat Kementerian Haji dan Umrah Boyolali, Bilal Faris Al Muhtari berkata, kumpulan jemaah berkenaan berlepas dari Surabaya, Jawa Timur dan sepatutnya transit di Bangkok sebelum meneruskan perjalanan ke Arab Saudi.
Bagaimanapun, sebaik sahaja tiba di ibu negara Thailand itu, kumpulan tersebut mendapati tiada tiket penerbangan seterusnya ke Jeddah yang ditempah.
“Ternyata tiket diberikan hanya membawa mereka setakat Bangkok sahaja. Terdapat 53 jemaah umrah yang terkandas di Bangkok walaupun setiap orang telah membayar bayaran penuh ziarah sebanyak 25 juta rupiah,” kata Bilal kepada pemberita semalam.
Menurut Bilal, pejabatnya telah memanggil agensi pelancongan yang bertanggungjawab menguruskan ziarah berkenaan untuk mendapatkan penjelasan.
Agensi terbabit bersetuju untuk memulangkan semula wang jemaah, walaupun terma bayaran balik belum dimuktamadkan, termasuk sama ada mereka akan menerima bayaran balik penuh atau perbelanjaan perjalanan akan ditolak daripada pembayaran.
“Agensi pelancongan bersetuju untuk memulangkan wang tersebut, tetapi pengaturan dan butirannya belum dibincangkan lagi. Mereka berjanji untuk menyelesaikan perkara ini sebaik sahaja semua jemaah pulang ke tanah air,” kata Bilal.
Beliau menambah bahawa masih belum pasti sama ada mana-mana jemaah yang terjejas akan membuat laporan polis.
Tidak seperti ibadah haji tahunan, umrah secara umumnya boleh dilaksanakan sepanjang tahun dan menarik sejumlah besar umat Islam Indonesia ke kota suci Makkah di Arab Saudi. – AGENSI








