WASHINGTON: Malaysia antara 16 negara yang dijangka berdepan cadangan pelaksanaan tarif import baharu Amerika Syarikat (AS) susulan siasatan terhadap dakwaan lebihan kapasiti perindustrian dalam kalangan rakan dagang utamanya.
Reuters melaporkan, cadangan tarif itu akan dikenakan sebagai tambahan kepada tarif sedia ada yang diperkenalkan sepanjang penggal kedua pentadbiran Presiden Donald Trump.
Bagaimanapun, Rumah Putih dijangka mengekalkan had tarif sebanyak 19 peratus bagi barangan Malaysia seperti yang dipersetujui dalam perjanjian perdagangan antara kedua-dua negara.
Had tarif sebanyak 15 peratus turut dijangka dikekalkan bagi barangan dari Kesatuan Eropah (EU), Jepun dan Korea Selatan.
Sementara itu, AS dijangka mengekalkan had tarif sebanyak 20 peratus terhadap barangan China sekiranya gencatan perdagangan antara kedua-dua negara yang dijadualkan tamat pada 10 Januari dilanjutkan.
Sekiranya perjanjian sementara itu tidak dilanjutkan, kadar tarif terhadap barangan China susulan dakwaan lebihan kapasiti perindustrian berkemungkinan dinaikkan.
Bekas pegawai kanan Jabatan Perdagangan AS, Ryan Majerus berkata, laporan siasatan itu dijangka mengandungi cadangan tindakan tarif berbeza mengikut negara.
Majerus berkata, pentadbiran Trump berkemungkinan mencadangkan kadar tarif antara 15 hingga 25 peratus terhadap import dari negara yang didapati mempunyai lebihan kapasiti dalam pelbagai sektor.
Tarif baharu itu juga dijangka menggantikan sebahagian tarif terdahulu yang dibatalkan Mahkamah Agung AS pada Februari lalu.
Pelaksanaan tarif sebelum ini turut menyumbang kepada kenaikan harga barangan pengguna di AS, manakala tinjauan Reuters/Ipsos selepas pilihan raya pertengahan penggal November lalu mendapati 62 peratus responden menyokong usaha memansuhkan tarif berkenaan.











