Lima Bahagian Bersatu di Melaka bubar, bakal sertai jajaran politik baharu

Lima Bahagian Bersatu di Melaka bubar, bakal sertai jajaran politik baharu

ABDUL Rahim Tamby Chik bersama ahli jawatankuasa yang hadir dalam sidang akhbar mengumumkan pembubaran lima Bahagian Bersatu di Melaka berkuatkuasa serta merta. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lima daripada enam Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Melaka dibubarkan berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Pengumuman tersebut dibuat oleh bekas Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dalam sidang akhbar khas petang tadi.

Katanya, bahagian yang terlibat ialah Masjid Tanah, Hang Tuah Jaya, Tangga Batu, Alor Gajah dan Jasin, melainkan Kota Melaka.

Jelasnya, pembubaran itu melibatkan Jawatankuasa Bahagian, Armada, Srikandi, Srikandi Muda dan Bersekutu serta seluruh cawangan di bahagian terlibat.

“Keputusan ini dibuat secara sebulat suara selepas mesyuarat khas melibatkan pimpinan bahagian dan sayap parti, termasuk Armada, Srikandi, Srikandi Muda serta cawangan-cawangan di bawah pentadbiran masing-masing.

“Pembubaran ini dibuat secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak selepas mengambil kira perkembangan semasa parti di peringkat pusat.

“Kami hilang keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi parti yang semakin terhakis dan tidak lagi dapat dipulihkan,” katanya dalam sidang akhbar di Peringgit di sini, hari ini.

Abdul Rahim turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua BPN Bersatu Melaka, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan Ketua Bersatu Bahagian Alor Gajah.

Katanya, mereka kini dalam proses membentuk jawatankuasa penaja di semua bahagian sebagai persediaan menyertai jajaran politik baharu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama parti berkenaan, sebaliknya menjelaskan ia adalah sebuah parti yang telah lama ditubuhkan.

“Melalui jajaran baharu itu mereka akan meneruskan perjuangan membela agama, bangsa dan negara serta berjanji membawa pendekatan politik yang lebih agresif dan berprinsip demi masa depan rakyat Melaka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN