Budaya lobi, tidak wala’ antara punca krisis Pas Perlis

Budaya lobi, tidak wala’ antara punca krisis Pas Perlis

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sikap melobi dalam kalangan pemimpin Pas dikenal pasti sebagai antara punca krisis politik di Perlis sehingga bekas Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli terpaksa meletakkan jawatan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu dikenal pasti selepas kepimpinan Pas Pusat turun padang untuk meneliti sendiri masalah berkenaan melalui sesi mendengar pengaduan secara berdepan serta siasatan lanjut.

Menurutnya, pertemuan dengan sebahagian pemimpin Pas kawasan mendedahkan wujud rasa tidak berpuas hati terhadap beberapa keputusan parti dan kepimpinan negeri.

“Antara perkara yang dikenal pasti ialah sikap menonjolkan diri sebagai paling layak memegang jawatan tetapi tidak dilantik, budaya lobi yang tidak berakhlak dalam mesyuarat, kegagalan memahami keterbatasan pentadbiran kerajaan baharu serta ketidakpatuhan terhadap keputusan yang dibuat melalui proses syura.

“Lebih membimbangkan, terdapat tindakan yang tidak beristiqamah dalam menghadapi tekanan luar sehingga membawa kepada langkah di luar disiplin jemaah dan akhirnya menyokong usaha menjatuhkan Kerajaan Pas di Perlis,” katanya dalam ruangan Minda Presiden Pas, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang mendedahkan isu dalaman Pas di Perlis membabitkan Mohd. Shukri telah dibawa ke pengetahuan Jawatankuasa Pas Pusat sejak tiga tahun lalu, namun masih belum menemui penyelesaian konkrit.

Abdul Hadi berkata, kepercayaan Pas Pusat terhadap Pesuruhjaya Pas Negeri yang dilantik adalah tinggi dan apa yang berlaku berpunca daripada kegagalan sebahagian pihak untuk berwala’ kepada parti.

“Apa yang berlaku sebenarnya berpunca daripada kegagalan sebahagian pihak untuk mentaati pimpinan yang sah tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak,” katanya.

Beliau menegaskan, ahli Pas perlu melakukan muhasabah diri secara adil serta memahami kepentingan menjaga perpaduan dalam jemaah.

“Perpecahan dalaman hanya akan melemahkan perjuangan dan membuka ruang kepada musuh untuk mengambil kesempatan. Perjuangan Islam mesti diteruskan dengan disiplin, kesabaran dan keikhlasan,” katanya.

Menurut beliau, Majlis Syura Ulama tidak terlibat dalam urusan pentadbiran Pas kecuali apabila berlaku perkara yang bercanggah dengan dasar tertinggi parti.

Katanya, Pas Pusat yang dipilih melalui Muktamar Tahunan mempunyai kuasa mentadbir parti di peringkat tertinggi selaras dengan Perlembagaan parti seperti diperuntukkan dalam Fasal 39(1) dan Fasal 39(9).

“Pas Pusat bertanggungjawab melantik dan menyelia jawatan di semua peringkat termasuk Pesuruhjaya Pas Negeri, Menteri Besar serta jawatan-jawatan lain di bawah pentadbiran parti dan kerajaan negeri.

“Pelantikan tersebut wajib ditaati selagi tidak membawa kepada maksiat atau pelanggaran syariat. Pesuruhjaya Pas Negeri Perlis yang dilantik daripada kalangan ahli Majlis Syura Ulama dipilih berdasarkan amanah, kelayakan serta kepentingan jemaah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN