PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah memberikan sebarang mandat secara rasmi kepada mana-mana pimpinan parti untuk berunding dengan UMNO.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara tersebut juga tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
Menurut beliau, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaan perbincangan dengan pimpinan Bersatu bagi mengusahakan penyatuan Melayu telah menimbulkan persoalan mengenai pendirian parti itu.
“Saya ingin menegaskan bahawa sebarang perbincangan rentas parti yang melibatkan sebarang bentuk kerjasama antara Bersatu dan UMNO hendaklah dibuat melalui saluran rasmi parti dan dihadiri oleh kepimpinan tertinggi kedua-dua pihak.
“Perbincangan juga perlu dijalankan secara telus dengan mengambil kira semua faktor, termasuk pandangan rakan-rakan parti dalam Perikatan Nasional (PN) serta kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, beliau mengambil sikap terbuka terhadap perkara berkenaan dan bersedia menimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh UMNO.
“Bersatu akan menimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh Presiden UMNO setelah mendapat input yang lebih jelas mengenainya,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan Ahmad Zahid mengesahkan berlaku pertemuan dengan pemimpin Pas dan Bersatu berhubung penyatuan orang Melayu menerusi kolaborasi agung.
Menurut Ahmad Zahid, perjumpaan yang disifatkan secara tidak langsung itu turut melibatkan beberapa parti politik Melayu lain. – UTUSAN










