TUDM pertimbang percepat perolehan aset udara MRCA

TUDM pertimbang percepat perolehan aset udara MRCA

MUHAMAD NORAZLAN ARIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempertimbangkan keperluan menyegerakan perolehan aset udara negara termasuk kemungkinan mempercepatkan program perolehan Pesawat Tempur Pelbagai Peranan (MRCA).

Ia berikutan ketidaktentuan berhubung perancangan perolehan pesawat F/A-18 C/D Hornet daripada Tentera Udara Kuwait (KAF).

Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, faktor garis masa dan syarat teknikal yang ditetapkan Kuwait bagi perolehan pesawat F/A-18 C/D Hornet itu menjadi pertimbangan utama sama ada hasrat tersebut diteruskan atau beralih kepada perancangan lain.

Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan kesiapsagaan ruang udara negara tidak terjejas.

“Ketetapan Kuwait adalah selepas 12 hingga 18 bulan mereka menerima pesawat Super Hornet barulah mereka boleh mempertimbangkan untuk menjual F/A-18 C/D Hornet kepada negara yang berminat.

“Tetapi sehingga hari ini, Kuwait tidak tahu bila pesawat Super Hornet mereka akan tiba. Belum ada lagi ketetapan tarikh perolehan pesawat Super Hornet oleh Kuwait,” katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM di Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Selain faktor kelewatan, Muhamad Norazlan berkata, terdapat kekangan teknikal dan syarat daripada pihak pengeluar F/A-18 C/D Hornet iaitu Amerika Syarikat (AS) yang memerlukan tempoh masa tambahan sebelum pesawat itu boleh dioperasikan oleh TUDM.

“Kita juga menerima surat secara rasmi daripada Kedutaan AS yang mengatakan bahawa meskipun pesawat Kuwait kita terima, kita tidak boleh menerbangkan pesawat tersebut.

“Kita perlu mengubah peralatan dan perubahan peralatan itu memerlukan tempoh kira-kira 15 bulan lagi.

“Sehubungan itu, TUDM perlu membuat keputusan yang tepat berdasarkan beberapa faktor berkenaan agar tidak menjadi bebanan di kemudian hari,” katanya.

Selain mempercepat pelaksanaan program MRCA, beliau berkata, TUDM akan meneruskan perolehan pesawat pejuang ringan FA-50 mengikut perancangan sebagai langkah alternatif.

“Insya-Allah, mengikut perancangan, TUDM dijangka menerima enam buah pesawat FA-50 menjelang akhir tahun depan, manakala 18 buah lagi akan diserahkan secara berperingkat bermula 2027,” katanya.

Program MRCA merupakan sebahagian daripada Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55) jangka panjang yang dirangka kerajaan bagi memodenkan armada udara negara secara berfasa menjelang 2035 hingga 2040 dan menyasarkan perolehan dua skuadron pesawat MRCA bagi menggantikan pesawat Sukhoi Su-30MKM dan F/A-18D Hornet sedia ada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN