Enam tonggak pacu TUDM ke arah ‘Kuasa Udara, Perisai Negara’

Enam tonggak pacu TUDM ke arah ‘Kuasa Udara, Perisai Negara’

Panglima Tentera Udara bersama pegawai kanan dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sempena sambutan ulang tahun Ke-68 pasukan itu di Pangkalan Udara Subang, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Mohamed Khaled Nordin

Selama 68 tahun, TUDM menjadi benteng kedaulatan ruang udara negara. MINDEF terus komited memperkukuh keupayaan dan kesiapsiagaan TUDM demi keamanan tanah air. Terima kasih seluruh warga dan veteran TUDM atas segala jasa dan pengorbanan.”

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Menteri pertahanan

 

 

SEBUAH angkatan udara yang mantap tidak hanya diukur melalui kecanggihan pesawat pejuang atau kehebatan juruterbang semata-mata, sebaliknya bergantung kepada gabungan pelbagai kepakaran yang saling melengkapi dalam memastikan keupayaan operasi sentiasa berada pada tahap terbaik.

Atas prinsip itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terus memberi penekanan kepada pembangunan menyeluruh terutama meliputi aspek teknikal, logistik, penyelenggaraan, kejuruteraan dan sokongan operasi bagi membentuk sebuah kuasa udara yang dinamik serta berdaya tahan.

Pendekatan tersebut membolehkan TUDM muncul sebagai antara angkatan udara bersaiz kecil yang memiliki kelebihan tersendiri, selain diiktiraf mempunyai kemampuan operasi yang berkesan serta tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

Ketika landskap keselamatan serantau dan global semakin kompleks, TUDM yang menjangkau usia 68 tahun terus membuktikan keupayaannya menyesuaikan diri dengan keperluan semasa menerusi pemodenan aset, peningkatan kesiapsiagaan serta pembangunan modal insan secara berterusan.

Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris TUDM

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan Aris TUDM berkata, usia lebih enam dekad itu bukan sekadar catatan sejarah, sebaliknya menjadi simbol kepada komitmen berterusan TUDM dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara negara dan kepentingan strategik Malaysia.

Menurut beliau, demi memastikan TUDM kekal relevan, enam tonggak digariskan menerusi Perintah Ulung agar mampu mendepani cabaran keselamatan masa kini dan masa hadapan, selari tema sambutan ‘Kuasa Udara Perisai Negara’.

“Kita sedang mendepani realiti geostrategik yang semakin kompleks dan tidak menentu. Konflik di Asia Barat yang melibatkan Iran, Israel serta penglibatan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) telah memberikan pengajaran strategik yang sangat besar kepada dunia.

“Begitu juga gangguan terhadap laluan komunikasi laut di Selat Hormuz yang bukan sahaja menjejaskan bekalan tenaga dunia, malah memberi kesan kepada ekonomi global, rantaian bekalan dan kestabilan pasaran antarabangsa termasuk Malaysia. Realiti ini menuntut kita supaya sentiasa peka dan bersedia dalam mempertahankan kedaulatan negara,” katanya pada sambutan Hari Ulang Tahun TUDM Ke-68 di Pangkalan Udara Subang, semalam.

Muhamad Norazlan berkata, Malaysia sebagai sebuah negara maritim amat bergantung kepada keselamatan laluan komunikasi laut, khususnya di Selat Melaka dan Laut China Selatan yang menjadi nadi kepada perdagangan serta pertumbuhan ekonomi negara.

TUDM Fokus Enam Tonggak Perkukuh Keupayaan Pertahanan Negara

Panglima Tentera Udara memeriksa perbarisan sempena Hari Ulang Tahun TUDM Ke-68 di Pangkalan Udara Subang, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

Muhamad Norazlan menjelaskan, TUDM akan terus memperkukuh keupayaan pertahanan negara menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik di bawah Tonggak Pertama dan Kedua yang memberi fokus kepada pembangunan keupayaan serta kesiapsiagaan operasi.

Katanya, usaha itu tertumpu kepada tiga bidang utama iaitu pengukuhan sistem pertahanan dan pemantauan ruang udara negara, peningkatan keupayaan Perisikan, Pengawasan dan Peninjauan (ISR) serta pembangunan juruterbang pejuang masa hadapan.

“Antara langkah yang sedang dilaksanakan ialah pembangunan radar pertahanan udara di Bintulu, Sarawak; Bukit Peteri, Terengganu dan Bukit Lunchu, Johor, selain radar pemantauan udara di Pulau Layang-Layang.

“Keupayaan ini akan meningkatkan keupayaan pengesanan awal ancaman serta menutup jurang pemantauan ruang udara negara, khususnya di kawasan strategik,” katanya.

Dalam masa sama, TUDM turut mempertingkatkan keupayaan pengawasan dan pengumpulan maklumat menerusi pengoperasian sistem pesawat tanpa pemandu ANKA-S serta persiapan menerima pesawat rondaan maritim P-72M.

UAS ANKA-S buatan Turkiye yang kini sudah memasuki perkhidmatan TUDM mampu meningkatkan keupayaan pemantauan di kawasan maritim dan strategik negara.

Kedua-dua aset tersebut dijangka memperkukuh keupayaan ISR TUDM dalam melaksanakan pengawasan berterusan, pengumpulan risikan dan pemantauan kawasan berkepentingan negara.

Menurut Muhamad Norazlan, pembangunan juruterbang pejuang generasi baharu turut diberikan keutamaan menerusi program Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT-LCA).

Perolehan pesawat FA-50M pada Oktober nanti bakal memperkukuh ekosistem latihan juruterbang pejuang selain meningkatkan keupayaan operasi TUDM secara berperingkat melalui pendedahan awal kepada teknologi, avionik dan persekitaran operasi pesawat tempur moden.

“Langkah ini penting bagi memastikan TUDM terus melahirkan generasi juruterbang pejuang yang kompeten, berkeyakinan dan bersedia mengendalikan aset tempur masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, menerusi Tonggak Keempat, TUDM terus memperkukuh aspek dokongan logistik dan penyelenggaraan aset bagi memastikan kesiagaan operasi sentiasa berada pada tahap optimum.

Kerjasama strategik dengan industri pertahanan tempatan juga akan terus diperkasa bagi meningkatkan keupayaan sokongan aset, mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar serta menyokong pembangunan industri pertahanan negara.

Jelas Muhamad Norazlan, pendekatan bersepadu yang merangkumi pembangunan aset, modal insan dan keupayaan sokongan itu akan memastikan TUDM terus menjadi benteng utama pertahanan ruang udara negara dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin dinamik.

Kecekapan, Kesiapsiagaan Pacu Kecemerlangan Operasi

Panglima Tentera Udara bersama mantan-mantan Panglima Tentera Udara memotong pulut kuning sebagai simbolik meraikan Hari Ulang Tahun TUDM Ke-68 semalam.

Namun segala usaha pembangunan keupayaan dan pemodenan aset yang dilaksanakan TUDM tidak akan memberi makna tanpa diterjemahkan melalui kecemerlangan operasi serta tahap kesiapsiagaan tinggi warga pasukan itu di lapangan.

Ini dibuktikan menerusi pelbagai operasi dan misi yang dilaksanakan sama ada di dalam mahupun luar negara, sekali gus mencerminkan tahap profesionalisme, kecekapan dan komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah mempertahankan kedaulatan negara.

“Antaranya kejayaan yang dicatatkan TUDM termasuk melibatkan kru pesawat AW139 melaksanakan misi pertukaran detasmen di Kompleks Radar Gunung Ngili dalam keadaan cuaca buruk demi memastikan operasi pemantauan ruang udara negara tidak terjejas.

“Selain itu, kejayaan pelaksanaan Tactical Air Land Operation (TALO) menggunakan pesawat A400M dengan melibatkan No. 8 Skuadron membuktikan keupayaan TUDM untuk terus memperkukuh kompetensi dan keupayaan operasi mobiliti udara pada tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.

Muhamad Nurazlan berkata, sebagai ‘Perisai Negara’, kewibawaan TUDM bukan hanya dinilai melalui keupayaan pertahanan, tetapi juga melalui peranan dalam misi kemanusiaan dan diplomasi pertahanan negara.

Malah katanya, pelaksanaan operasi Starlight III ke Myanmar bagi menghantar hospital medan dan bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi membuktikan keupayaan TUDM untuk mengatur gerak aset udara bagi menyokong misi kemanusiaan dan antarabangsa.

“TUDM juga membuktikan kredibiliti tersendiri melalui misi penerbangan ihsan, operasi menyelamat dan operasi pembenihan awan demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat,” jelasnya.

Integriti Maruah TUDM

Menyentuh mengenai pembangunan modal insan, Muhamad Nurazlan menuntut fokus dan kualiti setiap aspek warga TUDM dalam setiap tugasan yang diamanahkan sebagai teras kepada pembentukan sebuah angkatan udara yang berkeupayaan, berdaya tahan dan bersedia mendepani cabaran peperangan moden.

Tegasnya, ia selaras dengan aspirasi Angkatan Masa Hadapan (AMH) seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) untuk melahirkan anggota yang berkeupayaan untuk beroperasi dalam domain peperangan moden yang semakin kompleks.

“Kekuatan sesebuah angkatan tidak hanya dinilai melalui keupayaan dan kecanggihan teknologinya, tetapi turut bergantung kepada tahap integriti, tatakelola dan kepercayaan yang dimiliki.

“Atas dasar itu, saya ingin menegaskan TUDM tidak akan berkompromi dalam soal integriti. Penekanan terhadap nilai integriti dan pengukuhan tatakelola yang telah dilaksanakan kini mula menampakkan keberhasilan yang positif,” ujarnya.

Tegasnya, ‘Perisai Negara’ yang dibina TUDM tidak boleh mempunyai retakan integriti.

“Kita akan terus mengambil tindakan tegas dan mengamalkan sifar toleransi terhadap sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan nama baik, kredibiliti dan maruah angkatan. Integriti bukan pilihan. Integriti adalah maruah TUDM,” katanya.

Kesejahteraan anggota, keluarga nadi kekuatan TUDM

Selain itu, aspek kebajikan serta kualiti hidup warga TUDM akan terus menjadi agenda utama kepimpinan dalam memastikan tahap kesiapsiagaan operasi sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Muhamad Norazlan berkata, atas dasar itu, Tonggak Keenam Perintah Ulung yang memberi fokus kepada aspek Melestarikan Warga Udara menekankan pembangunan kesejahteraan secara menyeluruh merangkumi kesihatan, kebajikan dan kualiti hidup anggota serta keluarga mereka.

Beliau berkata, pelaksanaan program ‘Fit For Duty Anytime Anywhere’ merupakan antara inisiatif penting yang diperkenalkan bagi memastikan warga TUDM sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan mental dan fizikal yang optimum.

Katanya, program tersebut bukan sekadar slogan, sebaliknya manifestasi komitmen kepimpinan TUDM dalam membudayakan gaya hidup sihat serta meningkatkan tahap kecergasan warga udara.

Di samping itu, TUDM terus memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan kemudahan perumahan dan infrastruktur bagi keselesaan warga serta keluarga.

Menurut beliau, program pembangunan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) baharu di Pangkalan Udara Labuan dan Samarahan kini berada pada peringkat akhir pembinaan manakala projek di Pangkalan Udara Kuantan dan Butterworth telah mula dilaksanakan.

“Secara keseluruhannya, lebih RM830 juta diperuntukkan bagi projek pembangunan ini sebagai pelaburan jangka panjang untuk kesejahteraan warga TUDM.

“Selain itu, lebih RM70 juta turut diperuntukkan bagi melaksanakan projek naik taraf RKAT sedia ada demi memastikan warga TUDM dan keluarga dapat menikmati persekitaran kehidupan yang lebih selesa, selamat dan bermaruah,” ujarnya.

Katanya, keyakinan rakyat terhadap TUDM merupakan satu mandat dan amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab oleh setiap warga angkatan itu.

Beliau berharap, kepercayaan yang diberikan oleh rakyat perlu diterjemahkan melalui komitmen berterusan dalam melaksanakan tugas dengan penuh profesionalisme, disiplin dan integriti yang tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN